Abstrak
Amplikasi isoterma berpengantara gelung (LAMP) merupakan teknikamplifikasi gen yang menghasilkan produk akhir iaitu mendapan keruh magnesium pirofosfat yang boleh dianalisis dengan hanya menggunakan mata kasar. Penggunaan pewarna interkalat yang sesuai adalah penting kerana ia boleh meningkatkan sensitiviti dan mengurangkan keputusan positif palsu dan negatif palsu untuk pengesanan. Kajian ini bertujuan untuk membandingkan prestasi tiga pewarna interkalat yang berbeza; SYBR Green I, SYBR Safe dan pewarna berasaskan calcein di dalam asai LAMP HPV-16 melalui visualisasi oleh mata kasar, elektroforesis gel dan mesin masa- nyata turbidimeter. Reaksi LAMP dilakukan menggunakan amplifikasi kit Loopamp DNA berisipadu sebanyak 25 μl. Campuran reaksi dieram pada suhu 60°C selama 60 minit dan ditamatkan menggunakan suhu 80°C selama 5 minit dalam mesin masa-nyata turbidimeter. Untuk pengesanan menggunakan mata kasar, SYBR Green I dan SYBR Safe telah dicairkan dalam 1:10 DMSO dan telah ditambah ke dalam tiub yang mengandungi campuran reaksi selepas proses amplifikasi berlaku manakala calcein ditambah sebelum proses amplifikasi. Sensitiviti asai telah disiasat menggunakan pencairan DNA HPV-16 yang berkepekatan bermula dari 101 salinan/ μl to 108 salinan/μl. Ketiga-tiga pewarna mempamerkan keputusan yang sama dari segi sensitiviti dengan had pengesanan adalah 103 salinan/μl. Penambahan calcein di dalam asai menunjukkan masa pengesanan bertambah selama 10 minit dengan menggunakan mesin nyata-masa turbidimeter. Prestasi ketiga-tiga pewarna interkalat untuk pengesanan mata kasar adalah setanding dan boleh digunakan untuk aplikasi pemeriksaan titik akhir dalam asai HPV-16, manakala dengan mesin nyata-masa turbidimeter, penambahan calcein melambatkan masa pengesanan selama 10 minit.
Kata Kunci :
amplikasi isoterma berpengantara gelung,
human papillomavirus,
pewarna interkalat,