Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk menentukan kaedah pengumpulan sel kumulus (CC) yang lebih sesuai dengan membandingkan pengendalian sampel yang diperoleh daripada wanita dengan rizab ovari yang berkurang (DOR) dan rizab ovari normal (NOR). Ini bertujuan untuk mendapatkan hasil ribonukleik asid (RNA) yang optimum bagi membolehkan analisis ekspresi gen yang lebih baik. Kami membandingkan pengumpulan sampel melalui kaedah mekanikal dengan enzimatik, “standard rotor-stator homogeniser” (RSH) dengan “disposable easy grind homogeniser" untuk teknik penyediaan sampel dan seterusnya proses penghasilan cDNA dan penilaian qPCR untuk keputusan terakhir. Kami juga turut menjalankan kajian sistematik untuk menyatukan penemuan kami dengan bukti terkini mengenai teknik pengekstrakan RNA. Hasilnya, strategi optimum adalah melalui denudasi mekanikal tanpa proses enzimatik, diikuti oleh penggunaan media bersifat penstabilan RNA sebelum pengekstrakan RNA. Selepas itu, penggunaan kawalan tekanan manual dengan penapis, adalah penting untuk penghasilan sampel tulen dan sekata serta setanding di antara sel kumulus wanita NOR dan DOR. Teknik penyediaan dan pengekstrakan sampel ini menghasilkan jumlah RNA yang optimum dan analisis ekspresi gen yang berjaya. Berdasarkan hasil kajian, ia dapat menambah nilai sebagai strategi semasa untuk mengoptimumkan pengekstrakan RNA dalam sel kumulus untuk kajian eksperimen. Secara kesimpulannya, penemuan kami menyumbang dalam merumuskan strategi yang lebih baik untuk mengoptimumkan pengekstrakan RNA dalam CC manusia untuk kajian transkriptik dan genomic asas.
Kata Kunci :
Analisis gen; pengekstrakan RNA; penstabil RNA; rizab ovari berkurangan; sel cumulus,