Abstrak
Salah satu faktor risiko penting dalam kanser serviks adalah jangkitan virus papiloma manusia (human papillomavirus - HPV). Gen p53 merupakan salah satu sasaran utama gen E6 HPV. Protein E6 mempunyai keupayaan untuk merangsang degradasi p53, menghentikan beberapa fungsi p53 jenis-liar dan bersaing dengan fungsi lain p53 seperti mencegah pertumbuhan kanser. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenalpasti perbezaan pengekspresan p53 dalam neoplasia serviks pra-malignan dan malignan. Kajian retrospektif ini melibatkan 100 kes neoplasia serviks [21 neoplasia serviks intraepitelial 1 (cervical intraepithelial neoplasia 1- CIN1), 8 CIN2, 25 CIN3, 36 karsinoma sel skuamus, 7 adenokarsinoma dan 3 adenoskuamus karsinoma). Semua kes dikaji dengan kaedah immunohistokimia menggunakan antibodi monoklonal p53. Tiga puluh enam daripada 54 kes pra-malignan (66.7%) adalah positif terhadap protein p53 berbanding dengan 40 daripada 46 kes malignan (87.0%) yang menunjukkan kepositifan. Dua puluh sembilan daripada 54 (53.7%) kes CIN menunjukkan sama ada pengekspresan fokal atau tiada pengekspresan. Sebaliknya, 84.8% (39/46) kes karsinoma invasif menunjukkan pengekspresan regional atau pengekspresan keseluruhan. Pengekspresan p53 didapati lebih tinggi dalam neoplasia serviks malignan berbanding lesi serviks pra-malignan. Ini mencadangkan bahawa pengekspresan p53 bukan satu fenomena awal dalam patogenesis kanser serviks. Kajian ini juga menunjukkan terdapat peningkatan peratusan pengekspresan p53 dalam CIN2 dan CIN3 berbanding dengan CIN1. Akan tetapi, terdapat beberapa kes yang tiada pengekspresan p53 mencadangkan kemungkinan penglibatan faktor-faktor lain dan kajian HPV lanjutan adalah diperlukan.
Kata Kunci :
CIN,
HPV,
Immunohistokimia,
kanser serviks,
p53,
serviks,