Abstrak
Ketulan tiroid kerap ditemui tetapi neoplasma tiroid malignan jarang berlaku. Aspirasi sitologi jarum halus adalah kaedah diagnostik yang digunakan untuk menyaring pesakit tiroid yang memerlukan pembedahan. Kami mengkaji ketepatan diagnostik penggunaan aspirasi sitologi jarum halus sebagai kaedah modaliti diagnostik awal dalam penilaian klinikal ketulan tiroid. Sebanyak 2131 aspirasi jarum halus tiroid telah dilakukan di antara Januari 1995 dan Disember 2000 di Klinik FNA, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Terdapat 441 (20.7%) kes-kes yang didapati tidak memuaskan untuk pemeriksaan sitologi manakala 1690 kes-kes yang selebihnya adalah memuaskan. Daripada jumlah ini, sebanyak 361 kes mempunyai diagnosis histopatologi. Korelasi sito-histopatologi dijalankan ke atas kes-kes ini. Keputusan kajian menunjukkan ketepatan diagnostik sebanyak 96.2% dengan kadar-kadar sensitiviti dan spesifisiti sebanyak 87.7% dan 98.4%. Nilai jangkaan positif adalah 93.4% dan nilai jangkaan negatif adalah 96.8%. Daripada keputusan kajian ini , kami merumuskan bahawa aspirasi jarum halus adalah kaedah diagnostik awal yang penting untuk penyiasatan ketulan tiroid.
Kata Kunci :
aspirasi jarum halus sitologi,
ketulan tiroid,
korelasi sito-histopatologikal,
sensitiviti,
spesifisiti,