Abstrak
Penyakit rheumatoid arthritis (RA) boleh terjadi pada bila-bila masa selepas usia 16 tahun. Tujuan kajian ini adalah untuk membandingkan golongan pesakit RA yang mendapat penyakit ini selepas usia 60 tahun (EORA) dengan pesakit yang mendapat penyakit ini pada usia yang lebih muda (YORA), dari segi klinikal dan serologi. Sejumlah 69 pesakit perempuan EORA dan 82 pesakit perempuan YORA telah menyertai kajian ini. Data berkenaan umur semasa diagnosis, aktiviti penyakit semasa diagnosis, ubat-ubatan dan tempoh penyakit dikumpul dengan merujuk kepada rekod pesakit. Sampel darah kesemua subjek diuji dengan ujian serum 'anti-cyclic citrulinated peptide' (anti-CCP), IgA 'rheumatoid factor' (RF), IgM RF dan IgG RF. Kerosakan sendi dan ketidakupayaan fizikal ditentukan melalui 'Modified Sharp Score' (MSS) dan 'Health Assessment Questionnaire-disability Index' (HAQ-DI). Walaupun tempoh masa penyakit dan kekerapan seropositiviti tidak berbeza dengan signifikan antara kedua-dua kumpulan, kumpulan YORA telah mencatatkan aktiviti penyakit yang lebih tinggi dan ketara semasa diagnosis penyakit RA (p=0.009). Selaras dengan penemuan ini, kumpulan YORA mempunyai kerosakan sendi yang lebih teruk (skor MSS sebanyak 17.49+19.04 berbanding 10.04+12.79). Kumpulan YORA telah mempunyai paras IgA RF dan anti-CCP yang jauh lebih tinggi dengan nilai p sebanyak 0.035 and 0.002. Keputusan kajian ini mencadangkan bahawa kumpulan YORA mempunyai kaitan dengan penyakit RA yang lebih serius, kerosakan sendi yang lebih teruk dan paras anti-CCP dan IgA RF yang lebih tinggi.
Kata Kunci :
antibodi,
berusia,
rheumatoid arthritis,
serologi,