Abstrak
“Percutaneous coronary intervention” (PCI) dikenalpasti sebagai salah satu prosedur diagnostik invasif yang menimbulkan kebimbangan yang tinggi di kalanganpesakit jantung. Secara tidak langsung, peningkatan tahap kebimbangan ini akan menyebabkan pesakit merasa tertekan dan lantas, mengalami kemurungan. Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti tahap kebimbangan dan tahap tekanan pesakit sebelum dan selepas PCI. Kajian deskriptif keratan rentas ini menggunakan instrumen “Hospital Anxiety and Depression Scale” (HADS) yang mengandungi dua elemen berkaitan dengan tahap kebimbangan dan tahap tekanan pesakit sebelum dan selepas PCI. Kajian ini telah dijalankan di wad kardiologi Anggerik dan Dahlia dan Jagaan Harian di Institut Jantung Negara (IJN) dari Januari hingga Februari 2006. Ia melibatkan seramai 61 responden yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan sebelum dan selepas PCI. Hasil kajian mendapati 40 dan 38 pesakit sebelum dan selepas PCI mengalami tahap kebimbangan yang rendah; seramai 47 dan 46 pesakit sebelum and selepas PCI turut mengalami tahap tekanan yang rendah. Tahap kebimbangan dan tahap tekanan sebelum and selepas PCI tiada perbezaan signifikan dengan faktor sosio demografik responden. Manakala, didapati korelasi yang signifikan (p < 0.05) di antara tahap kebimbangan dan tahap tekanan sebelum dan selepas PCI. Namun begitu, tahap kebimbangan dan tekanan yang rendah di kalangan pesakit sebelum dan selepas PCI di Insititut Jantung Negara (IJN) mungkin dipengaruhi oleh faktor seperti, kemudahan yang lengkap dan terkini serta pendidikan jagaan kesihatan yang diberikan oleh pakar kardiologi, jururawat dan juruteknik kardiak.
Kata Kunci :
kebimbangan dan tekanan,
penyakit jantung koronari,
percutaneous coronary intervention,