Abstrak
Kesakitan selepas pembedahan selalunya dialami oleh pesakit dan menjejaskan pergerakan serta melambatkan penyembuhan. Kesakitan akut selepas pembedahan adalah subjektif dan tidak dapat dinilai secara langsung. Objektif kajian ini adalah utuk menilai tahap pengetahuan dan sikap jururawat terhadap pengurusan kesakitan selepas pembedahan. Kajian berbentuk keratan rentas ini dijalankan di wad surgikal dan unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bermula dari Februari hingga April 2008. Terdapat 28 soalan yang mengandungi dua konstruk iaitu pengetahuan dan sikap jururawat terhadap pengurusan kesakitan pesakit. Seramai 84 responden menyertai kajian ini. Hasil kajian menunjukkan 21 (25%) berpengetahuan tinggi, 58 (69%) responden mempunyai pengetahuan yang sederhana, dan hanya 5 (6%) responden berpengetahuan rendah terhadap pengurusan kesakitan selepas pembedahan. Seramai 66 responden (78.5%) menunjukkan sikap positif terhadap pengurusan kesakitan selepas pembedahan. Terdapat hubungan yang signifikan di antara sikap positif dan kelulusan akademik jururawat (χ² =29.96, p <0.05). Kesimpulannya kajian ini menunjukkan jururawat di PPUKM mempunyai pengetahuan sederhana dan sikap yang positif terhadap pengurusan kesakitan selepas pembedahan. Hasil kajian ini menunjukkan keperluan pendidikan berterusan dalam pengurusan kesakitan di kalangan para jururawat di PPUKM bagi memperbaiki pengetahuan mereka dalam pengendalian kesakitan demi memperbaiki mutu jagaan selepas pembedahan.
Kata Kunci :
jururawat,
pengetahuan,
pengurusan kesakitan,
pos-pembedahan,
sikap,