Abstrak
Kajian ini adalah bertujuan untuk menentukan hubungkait antara tekanan intrakranium (ICP) dan tekanan dalam mata (IOP) pada pesakit tekanan glaukoma normal (NTG) yang sedang menerima rawatan anti-glaukoma melalui formulasi teranggar ICP (estICP) dan perbezaan tekanan translaminar (estTCP). Kajian keratan rentas ini terdiri daripada 66 subjek yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan NTG (33 subjek) serta kumpulan normal (33 subjek) dan telah dijalankan sepanjang 1 November 2017 sehingga 31 Mei 2020 di sebuah hospital tertier di Malaysia. Setelah mendapatkan persetujuan, subjek diperiksa dan seterusnya data yang direkodkan termasuklah tahap tekanan dalam mata, tekanan darah, serta indeks jisim badan (BMI). Ujian lain yang turut dijalankan termasuklah ujian medan penglihatan Humphrey, panjang bola mata, ketebalan sentral kornea (CCT), serta evaluasi terhadap lapisan kepala saraf optik dan makula menggunakan mesin 'Optical Coherence Tomography' (OCT). Anggaran tekanan intrakranium (estICP) dihitung melalui formula; estICP (mmHg) = 0.44 x BMI (kg/m2) + 0.16 x tekanan darah diastolik (mmHg) – 0.18 x umur (tahun) – 1.91. Seterusnya, anggaran kecerunan tekanan translamina (estTPD) dihitung dengan IOP - estICP. Keputusan analisa menunjukkan tiada perbezaan signifikan pada estICP antara kumpulan NTG serta normal [perbezaan min (95% CI): 0.37 (-1.39, 2.12), p=0.679]. Perbezaan estTPD antara kumpulan NTG dan normal juga didapati tidak signifikan [perbezaan min (95% CI): -1.24 (-2.95, 0.47), p=0.149]. Pembolehubah yang didapati menjadi signifikan pada model multivariat termasuklah tahap ketajaman penglihatan terbaik setelah dikoreksi (BCVA) (p=0.028), lapisan urat saraf retina (RNFL) (p=0.002), purata ketebalan lapisan makula (p=0.002), serta estTPD (p=0.008). EstTPD juga didapati bersifat mencegah pesakit daripada penyakit NTG, di mana peningkatan satu unit estTPD dapat mencegah penyakit NTG sebanyak 26.5% [Adj. OR (95% CI): 0.735 (0.586, 0.922), p=0.008]. Kesimpulannya, tekanan dalam kepala didapati berhubungkait dalam peningkatan tekanan dalam mata. Perbezaaan Tekanan Rentas Lamina (TPD) yang lebih tinggi juga didapati mengurangkan kemungkinan mendapat penyakit NTG.
Kata Kunci :
glaukoma,
tekanan dalam mata,
tekanan intrakranium,