Abstrak
Penyakit diabetes memerlukan pengurusan kendiri yang berdedikasi untuk mencapai kawalan dan hasil rawatan yang baik kerana ini adalah penyakit seumur hidup. Internet menawarkan maklumat kesihatan dengan mudah dan ini mungkin mempengaruhi pengurusan kendiri penyakit diabetes. Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji kelaziman pencarian maklumat kesihatan di atas talian di kalangan pesakit diabetes dan faktor-faktor yang berkaitan. Seramai 380 peserta telah menyertai kaji selidik ini. Soal selidik yang diguna adalah hasil daripada sorotan kajian dan tinjauan ahli panel. Pengurusan kendiri diabetes dinilai dengan menggunakan soal selidik yang sedia ada iaitu DSMQ. Kajian ini mendapati bahawa kekerapan pencarian maklumat berkenaan dengan diabetes di atas talian adalah sebanyak 38.4%. Maklumat yang biasa yang dicari adalah maklumat mengenai rawatan diabetes (82.9%) pengubahsuaian gaya hidup (77.4%) dan cara pencegahan diabetes (67.3%). Sebilangan besar (93.1%) merasakan bahawa maklumat tentang diabetes yang terdapat di atas talian adalah berguna. Doktor dan bahan bacaan bercetak adalah sumber maklumat yang paling kerap diperolehi oleh pesakit diabetes (94.2% & 65.3%). Pesakit yang lebih muda (kurang dari 59 tahun, IQR = 11), mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit diabetes (COR = 1.188), berpelajaran tahap universiti (COR = 6.037) dan mereka yang bekerja (COR = 3.880) adalah lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat berkenaan penyakit diabetes di atas talian. Walau bagaimanapun, tiada persefahaman penting antara pencarian maklumat kesihatan atas talian dengan pengurusan kendiri diabetes. Kajian ini mendapati bahawa, kekerapan pencarian maklumat kesihatan di atas talian di kalangan orang yang menghidap kencing manis adalah agak baik tetapi ini tidak berkait dengan pengurusan kendiri diabetes yang optimum. Doktor dan maklumat bercetak masih merupakan sumber maklumat yang popular dan perlu dikekalkan.
Kata Kunci :
atas talian,
diabetes,
internet,
maklumat kesihatan,
pengurusan kendiri,