Abstrak
Kualiti tidur terganggu telah menjadi satu isu kesihatan masyarakat disebabkan oleh perkaitannya dengan pelbagai jenis risiko kesihatan. Kebelakangan ini kajian telah menunjukkan pelajar universiti mempunyai kualiti tidur yang teruk semasa pandemik COVID-19. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor yang berkaitan dengan kualiti tidur dalam kalangan pelajar sarjana di Malaysia semasa pandemik COVID-19. Kajian keratan rentas ini telah melibatkan 377 pelajar sarjana dari universiti awam dan swasta di Malaysia. Kajian ini dijalankan dari 16 Jun 2021 hingga 31 Julai 2021. Responden telah melengkapkan soal selidik dalam talian mengenai sosiodemografi, kualiti tidur, corak kronotaip, sindrom makan malam, sekuriti makanan, aktiviti fizikal, ketagihan internet serta berat badan dan tinggi. Kajian ini menunjukkan 62.3% daripada responden mempunyai kualiti tidur yang teruk. Responden berbangsa Melayu (AOR = 3.84, 95% CI =2.07-7.11), dalam aliran seni (AOR = 2.55, 95% CI = 1.20-5.42) dan mengalami ketagihan internet (AOR = 2.14, 95% CI = 1.22-3.77) mempunyai risiko tinggi dalam menangani kualiti tidur yang teruk. Responden yang tinggal di rumah sewa (AOR = 0.38, 95% CI = 0.16-0.88), pelajar tahun kedua (AOR = 0.49, 95% CI = 0.25-0.99) dan mempunyai kronotaip jenis pagi (AOR = 0.35, 95% CI = 0.17–0.72) berisiko lebih rendah untuk kualiti tidur yang teruk. Kajian ini menunjukkan prevalens kualiti tidur teruk yang tinggi dalam kalangan pelajar sarjana semasa pandemik COVID-19. Hasil kajian ini mencadangkan bahawa pencegahan ketagihan internet dan kronotaip jenis petang dapat meningkatkan kualiti tidur pelajar universiti.
Kata Kunci :
corak kronotaip,
COVID-19,
ketagihan internet,
kualiti tidur,
pelajar universiti,