Abstrak
Ramai di kalangan pesakit ginjal kronik yang telah mengambil rawatan sampingan dan juga alternatif. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji kekerapan penggunaan rawatan ini dan hubungannya dengan perkembangan kerosakan penyakit ginjal kronik. Kajian ini dilakukan kepada pesakit-pesakit ginjal kronik di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Data dikumpul dengan menggunakan kaedah soal-selidik yang mengkaji demografi, jenis dan corak rawatan sampingan dan alternatif. Latar belakang pesakit dan nilai serum kreatinin dikumpul daripada nota pesakit untuk mengkaji hubungkait penggunaan rawatan ini dengan kegagalan ginjal kronik. Ujian- ujian statistik yang digunakan termasuklah Chi-Square, Sampel-T, Mann-Whitney U dan regresi logistik. Sejumlah tiga ratus tujuh puluh dua pesakit telah mengambil bahagian di dalam kajian ini. Kekerapan pengunaan rawatan sampingan dan alternatif adalah 29% untuk tahun sebelumnya. Pesakit muda yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi dan pendapatan yang lebih adalah lebih cenderung untuk menggunakan rawatan sampingan dan alternatif. Produk semulajadi adalah rawatan yang paling kerap digunakan (86.1%). Kepercayaan kepada keberkesanan rawatan sampingan dan alternatif menjadi penyebab utama pengambilan dan kira-kira 57.8% pesakit memberitahu hal ini kepada doktor mereka. Kami dapati bahawa penggunaan rawatan sampingan dan alternatif oleh pesakit kegagalan ginjal kronik di Malaysia tidak mempengaruhi perkembangan penyakit ini.
Kata Kunci :
alternatif,
herba,
makanan tambahan,
penyakit ginjal kronik,
sampingan,