Abstrak
Kebanyakan rakyat Malaysia cenderung menggunakan semula minyak masak dalam masakan mereka, di mana ia menyumbang kepada banyak penyakit. Memandangkan jururawat adalah barisan hadapan dalam sektor kesihatan, pendidikan kesihatan sepatutnya diberikan kepada pesakit untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang bahaya minyak masak yang dipanaskan berulang kali. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tahap pengetahuan dan amalan penggunaan minyak masak yang dipanaskan berulang kali dalam kalangan jururawat. Kajian keratan rentas telah dijalankan di kalangan 298 jururawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada Julai 2022. Jururawat telah melengkapkan soal selidik yang terdiri daripada faktor sosiodemografi, pengetahuan dan amalan penggunaan minyak masak yang dipanaskan berulang kali. Di kalangan 298 jururawat, 6.7% mempunyai tahap rendah, 44.0% mempunyai sederhana dan 49.3% mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi mengenai minyak masak yang dipanaskan berulang kali. Tahap pendidikan responden dan kriteria pilihan minyak masak mempunyai perkaitan yang signifikan dengan tahap pengetahuan tentang penggunaan minyak masak yang dipanaskan berulang kali (p<0.05). Sejumlah 52% jururawat mempunyai amalan baik manakala 48% mempunyai amalan buruk. Terdapat perkaitan yang signifikan antara pengetahuan dan amalan (p<0.001). Walau bagaimanapun, tidak terdapat perkaitan yang signifikan antara pendapatan kasar isi rumah bulanan dengan kriteria pilihan minyak masak dan amalan penggunaan minyak masak yang dipanaskan berulang kali (p>0.05). Pengetahuan yang tinggi tentang penggunaan minyak masak yang dipanaskan berulang kali adalah penting kerana ia menjejaskan amalan penggunaan minyak masak. Intervensi awal dan masakan rumah perlu digalakkan untuk mengurangkan peningkatan penyakit akibat penggunaan minyak masak yang dipanaskan berulang kali.
Kata Kunci :
kesedaran,
minyak sayuran,
petugas kesihatan,
sikap,