Abstrak
Terdapat maklumat yang terhad mengenai penggunaan e-dagang di kalangan ahli farmasi runcit dalam negara membangun. E-farmasi ditakrifkan sebagai farmasi komuniti yang menyediakan perkhidmatan sama ada secara tunggal atau gabungan perkhidmatan farmasi dalam talian seperti pendispensan ubat terkawal secara maya, perundingan produk perubatan dalam talian, perkhidmatan kesihatan dalam talian yang berkaitan dengan ubat-ubatan, perundingan dalam talian yang berkaitan dengan supplemen kesihatan dan produk kecantikan serta perkhidmatan penghantaran produk. Kajian ini bertujuan untuk menerokai minat di kalangan ahli farmasi berlesen runcit dalam menerima e-dagang sebagai sebahagian daripada peruntukan perniagaan mereka dan menentukan faktor penentu minat untuk menyediakan perkhidmatan e-farmasi. Tinjauan dalam talian secara kendiri telah diedarkan kepada 3858 ahli farmasi komuniti berlesen menggunakan senarai emel yang disediakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan. Kadar respon adalah 9.15% (N=353). Dapatan kajian menunjukkan 78.2% daripada responden berminat untuk menyediakan perkhidmatan e-farmasi. Penentu utama kecenderungan ini dipengaruhi oleh persepsi ahli farmasi komuniti terhadap norma pengguna dalam melanggan perkhidmatan dalam talian, trend sosio-teknologi, tekanan daripada persaingan dan kesediaan untuk mematuhi keperluan peraturan e-farmasi. Kajian ini menggesa pihak berkuasa farmasi untuk merumuskan keperluan mesra perniagaan dalam memperkasa ahli farmasi komuniti untuk menerima pakai perkhidmatan e-farmasi dan mewujudkan persekitaran kondusif kepada ahli farmasi komuniti untuk menginovasi amalan farmasi. E-farmasi memberi manfaat kepada orang ramai dengan menyediakan akses kepada produk perubatan yang berkualiti dengan harga yang kompetitif.
Kata Kunci :
farmasi,
komunikasi kesihatan,
penggunaan internet,
perkhidmatan farmaseutikal,
preskripsi elektronik,
teleperubatan,