Abstrak
Walaupun faktor sosio-demografi, fizikal dan faktor lain dikaitkan dengan sakit leher, terdapat sedikit data tentang bagaimana faktor-faktor ini dikaitkan dengan ketidakupayaan dalam kalangan orang dewasa yang menderita dari keadaan in. Kami bertujuan untuk menentukan faktor sosio-demografi dan fizikal (kekuatan dan julat pergerakan sendi) yang menyebabkan ketidakupayaan pada orang dewasa yang mengalami sakit leher yang tidak spesifik. Sejumlah 34 orang dewasa yang mengalami sakit leher dengan purata umur 55 (10.80) tahun dari klinik fisioterapi di hospital pengajaran mengambil bahagian dalam kajian ini. Butiran sosialdemografi seperti indeks jisim badan, status pekerjaan semasa, jumlah jam senaman dilakukan seminggu telah diperoleh. Tahap kesakitan dinilai menggunakan Skor Penilaian Numerikal (Numerical Rating Scale, NRS). Tahap ketidakupayaan dinilai dengan menggunakan Indeks Ketidakupayaan Leher (Neck Disability Index). Julat pergerakan servikal diukur dengan menggunakan alat pengukur pergerakan servikal. Dinamometer tangan digunakan untuk mengukur kekuatan genggaman tangan dominan. Data dianalisis menggunakan analisis deskriptif dan regresi linear berlangkah. Lebih separuh daripada peserta yang mengalami kesakitan leher dalam kajian ini adalah perempuan, di atas 50 tahun, dalam kumpulan kelebihan berat badan (jisim berat badan >25 kg/m2), kini menganggur dan mengalami sakit leher yang teruk (Skor Penilaian Numerikal >7). Kekuatan tangan adalah satu-satunya faktor yang didapati signifikan (p<0.05) yang berkaitan dengan ketidakupayaan leher. Keputusan dari kajian kami ini menunjukkan bahawa pengkondisian dan peningkatan kekuatan otot adalah penting untuk mencegah ketidakupayaan leher dalam kalangan orang dewasa yang mengalami sakit leher yang tidak spesifik.
Kata Kunci :
faktor,
fizikal,
ketidakupayaan,
sakit leher,
sosio-demografi,