Abstrak
Polip antrokoanal merupakan ketumbuhan benigna yang jarang berlaku. Kami melaporkan 40 kes polip antrokoanal yang dirawat di Pusat Perubatan UKM selama sepuluh tahun diantara Mei 1998 hingga April 2008. Median umur pesakit yang terlibat adalah 37 tahun. Simptom klinikal yang sering menjadi masalah utama adalah hidung tersumbat (92.5%), diikuti oleh hidung berair (45%), lelehan belakang hidung (35%) dan berdengkur (22.5%). Median tempoh rawatan susulan adalah 30 bulan. Pelbagai pendekatan pembedahan telah digunakan; pembedahan yang paling kerap dilakukan adalah polipektomi endoskopi dengan peralatan berkuasa elektrik dan antrostomi meatus tengah pada 28 pesakit (70%), diikuti oleh polipektomi endoskopi dan antrostomi meatus tengah pada tujuh pesakit (17.5%) dengan peralatan konvensional. Lima pesakit (12.5%) menjalani polipektomi endoskopi dengan peralatan berkuasa elektrik tanpa antrostomi meatus tengah. Selain itu, dua pesakit menjalani septoplasti dan seorang pesakit menjalani sinustomi frontal. Terdapat enam pesakit (15%) menjalani pembedahan kombinasi antrostomi sublabial. Tiada komplikasi besar berlaku ; empat pesakit mengalami penyakit berulang ; tiga pesakit menjalani pembedahan di tempat lain dan seorang daripadanya mengalami penyakit berulang selepas pembedahan pertama. Median tempoh penempatan di dalam wad adalah tiga hari. Kami merumuskan bahawa penggunaan peralatan berkuasa elektrik dalam rawatan antrokoanal polip adalah selamat, efektif dengan morbidity yang minima.
Kata Kunci :
antroskopi transkanin,
antrostomi meatus tengah,
peralatan berkuasa elektrik,
polip antrokoanal,
polipektomi endoskopi,