Abstrak
Ketebalan kornea memainkan peranan penting dalam merawat pesakit glaukoma. Tujuan kajian in adalah untuk mengenalpasti hubungan di antara ketebalan tengah kornea dengan ukuran ketebalan lapisan saraf retina bagi pesakit glaukoma sudut terbuka (glaukoma bertekanan rendah dan glaukoma bertekanan tinggi). Ini adalah kajian pemerhatian dibuat ke atas pesakit di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan melibatkan seramai 190 mata (190 pesakit). Pesakit adalah terdiri daripada 60 orang pesakit glaukoma bertekanan rendah, 61 pesakit glaukoma bertekanan tinggi dan seramai 69 pesakit normal yang digunakan sebagai kontrol. Pesakit-pesakit ini dikenalpasti berdasarkan kerosakan luas pandangan yang bercirikan glaukoma dan melalui catatan rekod tekanan mata sebelum rawatan dimulakan. Ketajaman penglihatan diuji. Ketebalan pusat kornea diukur menggunakan mikroskop spekular.Ukuran ketebalan lapisan saraf retina dibuat menggunakan ‘optical coherence tomography. ’Keputusan kajian menunjukkan pesakit glaukoma bertekanan rendah didapati memiliki perbezaan ketebalan pusat kornea (503.07um±32.27) yang ketara, berbanding dengan kumpulan control, 517.45±31.74 (p=0.012). Manakala perbezaan ketebalan kornea adalah tidak ketara bagi pesakit glaucoma bertekanan rendah dibandingkan dengan pesakit glaukoma bertekanan tinggi.(p=0.386). Ukuran ketebalan lapisan saraf retina dan pengukuran urat mata menunjukkan perbezaan yang ketara diantara pesakit glaukoma susut terbuka dan kumpulan kontrol. Terdapat korelasi yang ketara di antara ketebalan purata lapisan saraf retina dan ketebalan saraf di bahagian atas dengan ketebalan pusat kornea bagi pesakit glaukoma bertekanan tinggi (r=0.251,0.401) tetapi tidak bagi pesakit glaukoma bertekanan rendah. Kesimpulan kajian ini menunjukkan korelasi ketara bagi ketebalan pusat kornea dengan purata ketebalan lapisan saraf retina dan ketebalan saraf di bahagian atas (‘superior quadrant’) bagi pesakit glaukoma bertekanan tinggi. Korelasi yang serupa tidak ditemui bagi pesakit glaukoma bertekanan rendah.
Kata Kunci :
glaukoma sudut terbuka,
kornea,
optikal koheren tomografi,
retina,