Abstrak
Di Malaysia, Perlis merupakan salah sebuah negeri yang menunjukkan angka tertinggi yang mempunyai pesakit diabetes mellitus (DM). Pencegahan dan pengurusan DM adalah bergantung kepada amalan kendiri dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, masih banyak informasi yang tidak diketahui mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi penglibatan orang ramai dalam amalan kendiri terhadap DM yang mungkin telah menyumbang kepada prevalensi DM yang tinggi di Perlis. Kajian ini dilakukan untuk menilai pengetahuan, sikap, serta faktor-faktor yang berkaitan dengan amalan kendiri terhadap DM di kalangan masyarakat di Kangar, Perlis. Kajian keratan rentas telah dilakukan bermula pada Jun 2018 selama tiga bulan. Peserta yang layak dijemput untuk melengkapkan soal selidik di kawasan awam di Kangar. Analisis deskriptif mengenai ciri-ciri sosiodemografi, sejarah perubatan, pengetahuan, sikap dan amalan kendiri terhadap DM telah dilakukan. Ujian t-test dan korelasi Spearman telah digunakan untuk menilai hubungan antara sosiodemografi, sejarah perubatan, pengetahuan, dan sikap masyarakat di Kangar dengan amalan kendiri terhadap DM. Regresi linear berganda digunakan untuk menganalisis hubungan di antara pembolehubah dalam kajian ini. Sebanyak 319 responden bersetuju dan mengambil bahagian dalam kajian ini. Kebanyakan responden ialah perempuan (66.5%), Melayu (94%), dan mempunyai pendidikan tinggi (51.7%). Secara keseluruhan, kebanyakan peserta mempunyai skor pengetahuan (80.3%), sikap (98.4%), dan amalan kendiri (97.2%) yang baik terhadap DM. Hubungan positif yang signifikan secara statistik didapati antara usia, tahap pendidikan, dan skor sikap dengan amalan kendiri terhadap DM (p<0.05). Kajian ini menunjukkan bahawa program pendidikan mengenai rawatan kendiri DM harus bermula seawal dari peringkat sekolah untuk menjelaskan tentang pengurusan DM yang betul.
Kata Kunci :
Amalan Kendiri,
diabetes mellitus,
Orang awam,
pengetahuan,
sikap,