Abstrak
Kestabilan proksimal yang terdiri daripada kestabilan otot teras dan pinggul, memainkan peranan penting dalam menyokong berat badan dalam keadaan statik dan bergerak. Seterusnya, kestabilan proksimal boleh menyumbang kepada osteoarthritis lutut. Justeru, kajian ini dilaksanakan untuk menentukan kestabilan teras dan pinggul pesakit osteoarthritis lutut (OA lutut). Seramai 32 orang wanita berumur antara 45 hingga 60 tahun yang terdiri daripada 16 orang pesakit OA lutut dan 16 orang normal telah bersetuju menyertai projek kajian ini. Kestabilan pinggul diuji menggunakan ujian “Hip Crossover” dan kestabilan otot teras dinilai menggunakan ujian daya tahan otot teras, ujian kekuatan otot teras dan ujian kelenturan otot teras. Data kestabilan pinggul, kekuatan dan kelenturan otot teras dianalisa menggunakan ujian chi-square; dan daya tahan otot teras dianalisis menggunakan ujian-t tidak bersandar. Kajian ini mendapati pesakit OA lutut mempunyai pinggul yang kurang stabil [Hip Crossover Test (λ=0.500, p=0.033)] dan kestabilan otot teras yang lebih rendah berbanding dengan subjek normal. Kestabilan otot teras dinilai berdasarkan kepada kekuatan otot teras [abdominal muscles (χ=12.157, p<0.001); quadriceps and gluteal muscles (χ=13.364, p<0.001); hip muscles (χ=17.936, p<0.001); latissimus dorsi and quadriceps (χ=15.906, p<0.001)]; daya tahan otot teras [plank endurance (t=4.719, p<0.001); trunk flexion (t=2.824, p=0.008); trunk extension (t=1.364, p=0.193)]; dan kelenturan otot teras [Ely’s test (λ=0.438, p=0.010)]. Kestabilan proksimal pesakit OA lutut jelas lebih lemah berbanding subjek normal. Oleh itu, latihan untuk meningkatkan kestabilan pinggul dan otot teras perlu dipertimbangkan dalam program rehabilitasi OA lutut, bukan sahaja bagi mengurangkan symptom OA lutut, tetapi juga memperbaiki pergerakan berfungsi pesakit OA lutut.
Kata Kunci :
kestabilan otot teras,
kestabilan pinggul,
kestabilan proksimal,
osteoarthritis lutut,