Abstrak
Industri penjagaan kulit Malaysia sedang berkembang maju dengan memperlihatkan peningkatan bilangan krim pelindung cahaya matahari yang dihasilkan setiap tahun. Kekurangan peraturan dan kawalan dalam aspek penjagaan kesihatan kulit menyebabkan ketidaktentuan kualiti krim pelindung cahaya matahari. Objektif kajian ini adalah untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan krim pelindung cahaya matahari tempatan berbanding dengan krim antarabangsa serta kesan penambahan antioksidan asli ke dalam krim-krim tersebut. Tiga krim tempatan dan tiga krim luar negara telah dikaji untuk menentukan faktor pencegahan ultraviolet A (UVAPF), faktor pencegahan cahaya (SPF) dan fotostabiliti secara in vitro. Sampel krim disapu pada plat polimetilmetakrilat yang kasar di mana penyerapan cahaya dibaca dengan spektrofotometer sebelum dan selepas dua jam pendedahan kepada radiasi cahaya. Kaedah yang sama diulangi dengan menambahkan krim pekat vitamin C dan E yang terdapat dalam pasaran. Krim dari luar negara didapati mempunyai label SPF yang jitu (p=0.009) manakala krim tempatan adalah lebih stabil terhadap cahaya (p=0.003). Walau bagaimanapun, kedua-dua krim tidak mempunyai UVAPF yang cukup (p=0.471). Penambahan vitamin C meningkatkan nilai SPF (p=0.04) kedua-dua krim manakala vitamin E meningkatkan fotostabiliti (p=0.000) mereka. Penambahan kombinasi vitamin C dan E kepada krim pelindung cahaya matahari dengan menariknya tidak mengubah nilai SPF dan UVAPF berbanding dengan penambahan satu vitamin secara berasingan. Yang pentingnya, kombinasi vitamin menurunkan fotostabiliti (p=0.002) krim berbanding dengan penambahan vitamin E sahaja. Kesimpulannya, pelindungan terhadap cahaya terbaik dicapai melalui penggunaan krim pelindung cahaya bersama dengan krim yang mengandungi hanya salah satu vitamin C atau E sahaja.
Kata Kunci :
Antioksidan,
faktor pencegahan cahaya,
faktor pencegahan ultraviolet A,
fotostabiliti,
krim pelindung cahaya matahari,