Abstrak
Senaman berasaskan kerusi (SBK) adalah senaman alternatif untuk golongan
dewasa tua bagi memastikan keselamatan semasa bersenam. Namun, bukti
keberkesanan latihan senaman ini terhad kepada populasi dewasa tua yang
mempunyai kondisi kesihatan akut atau penyakit terminal. Jika tahap kesukaran
senaman ditingkatkan, SBK boleh memberi manfaat kepada populasi dewasa tua
lain. Kajian ini bertujuan menilai kesan SBK terhadap prestasi fizikal dan kualiti
hidup wanita dewasa tua di komuniti Malaysia. Sejumlah 18 wanita dewasa tua
berumur 66.78 + 4.60 tahun telah melengkapkan latihan SBK pada kekerapan dua
kali seminggu selama lapan minggu. Kesan senaman diukur dari aspek ketahanan
fizikal, kekuatan kaki dan kekuatan genggaman tangan menggunakan ujian
berjalan selama enam minit (6MWT), ujian berdiri dari posisi duduk sebanyak
lima kali (FTSTS) dan dinamometer tangan. Skala Kualiti Hidup Pertubuhan
Kesihatan Sedunia versi Melayu (WHOQOL-BREFMalay) telah digunakan untuk
mengukur status kesihatan dan tahap kualiti hidup peserta kajian. Data dianalisis
menggunakan statistik inferensi, tahap signifikan ditetapkan pada nilai p<0.05. Min
jarak berjalan dalam ujian 6MWT meningkat selepas SBK (20.11 + 24.50; p<0.001)
dan ini menunjukkan peningkatan ketahanan fizikal. Perubahan positif juga
didapati dalam skor keseluruhan, dan dalam domain kesihatan umum, kesihatan
fizikal, psikologi serta persekitaran skala WHOQOL-BREFMalay (p<0.05). Namun,
tiada perubahan yang signifikan ditemui bagi skor FTSTS dan kekuatan genggaman
tangan selepas senaman. SBK dapat meningkatkan ketahanan fizikal dan kualiti
hidup dalam kalangan wanita dewasa tua sihat di komuniti terpilih dan ia boleh
menjadi pilihan senaman bagi golongan ini.
Kata Kunci :
kebolehan fizikal,
kualiti hidup,
senaman berasaskan kerusi,
warga emas wanita,