Abstrak
Kes keracunan plumbum (Pb) yang membimbangkan telah meningkat di beberapa negara tertentu. Semakin banyak bukti kajian menunjukkan pendedahan kronik terhadap plumbum memainkan peranan besar yang menyebabkan ketidakseimbangan prooksidan: antioksidan di dalam tisu otak dan perubahan histologi otak. Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti kesan agen antioksidan daripada kelapa sawit Malaysia, fraksi kaya tokotrienol (TRF) pada tisu otak tikus eksperimen berikutan keracunan plumbum. Lapan belas (n=18) tikus Sprague-Dawley jantan, berusia 6 minggu, dibahagikan secara rawak kepada kumpulan kawalan (CTRL) dan kumpulan eksperimen; didedahkan kepada 0.2% w / v plumbum asetat, sebagai kumpulan PB2; dan yang didedahkan kepada 0.2% w / v plumbum asetat bersama pengambilan suplemen TRF (200 mg / kg berat badan) sebagai kumpulan PB2T. Eksperimen ini dijalankan selama 30 hari. Pada akhir kajian, tisu otak telah diambil dan perubahan histopatologi di kawasan hippocampus diperhatikan. Keputusan biokimia seperti aras plumbum, TRF dan malondialdehid (MDA) dalam tisu otak serta aras aktiviti superoksida dismutase (SOD) dalam eritrosit telah ditentukan. Terdapat neuron atipikal berciri apoptosis dan tidak teratur diperhatikan di kawasan hippocampus bagi kumpulan Pb2 yang didedahkan kepada plumbum berbanding kumpulan Pb2T. Parameter- parameter biokimia tisu otak menunjukkan penurunan aras plumbum yang siginifikan (p<0.05) di dalam kumpulan Pb2T berbanding Pb2. Walaupun tiada perbezaan yang signifikan diperolehi (p>0.05) bagi aras MDA, terdapat peningkatan yang signifikan (p<0.05) bagi aktiviti SOD eritrosit dalam PB2T berbanding PB2 dan CTRL. Pengambilan suplemen TRF dilihat dapat membaiki perubahan histopatologi dalam tisu otak yang disebabkan oleh pendedahan plumbum melalui air minuman dengan mengurangkan pengumpulan plumbum dalam tisu otak tikus eksperimen.
Kata Kunci :
neurotoksisiti,
plumbum,
tekanan oksidatif,
tokotrienol,