Abstrak
Kehadiran sel leukemia yang minima merupakan penanda prognosis buruk pada pesakit leukemia akut. Penganalisaan tahap bebas leukaemia secara sitometri aliran dapat menganggarkan baki minima sel leukaemia (MRD) selepas rawatan kemoterapi induksi pada pesakit kanak-kanak leukemia limfoblastik akut (ALL). Pesakit yang dikatakan bebas dari leukaemia dengan analisa morfologi sum-sum tulang, di mana kadar peratus limfoblas adalah kurang 5%, berkemungkinan besar masih mempunyai sel leukemia sebanyak 1010. Walau bagaimana pun, kaedah imunofenotip sitometri aliran, boleh mengesan baki sel leukemia yang lebih rendah lagi (1 dalam 104 sel-sel) berbanding pemeriksaan morfologi sumsum tulang, dan ia boleh digunakan sebagai kaedah bagi menentukan MRD dan meramal kemungkinan leukemia akut berulang. Kajian ini adalah untuk membandingkan ciri-ciri klinikal dan hematologi pada kanak-kanak yang mengalami ALL, dan juga untuk mengesan status MRD pesakit tersebut secara sitometri aliran. Status MRD pesakit dianalisa pada hari ke-28, minggu ke-12 dan minggu ke-20 daripada rawatan kemoterapi induksi leukemia. Jangka hayat pesakit selepas lima tahun juga dikaji. Perbandingan status MRD secara morfologi sum-sum tulang dengan sitometri aliran telah dilakukan. Kajian ini telah dijalankan terhadap tiga puluh lapan kes kanak-kanak yang mengalami prekursor B-ALL di Pusat Perubatan UKM. Tidak terdapat perkaitan yang signifikan diantara ciri-ciri demografik, klinikal dan hematologi dengan status MRD pada hari ke-28, namun terdapat perkaitan yang signifikan di antara status MRD yang positif secara sitometri aliran dengan keputusan morfologi sum-sum tulang pada minggu ke-12. Tiga kes menunjukkan status MRD positif yang berterusan sehingga minggu ke-20 dan dua daripadanya telah relaps dan meninggal dunia. Dua puluh empat pesakit masih hidup selepas lima tahun.
Kata Kunci :
baki minima sel leukaemia (MRD),
imunofenotip,
leukemia limfoblastik akut (ALL),
sito-metri aliran,