Abstrak
`Metaplastic breast carcinoma’ (MBC) adalah jenis kanser payu dara yang amat jarang ditemui yang dari segi histologinya, bercirikan karsinoma yang terdiri daripada dua jenis epitelia atau kehadiran karsinoma bersama-sama dengan elemen ‘bukan-epitelial’. Ianya adalah agresif dan mempunyai ciri prognosis yang buruk. Ciri-ciri patologikal dan klinikal kanser ini dikalangan pesakit kanser payu dara di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah dikaji dari tahun 2000 sehingga 2007. Daripada 471 pesakit kanser payu dara di PPUKM terdapat enam pesakit wanita dikenal pasti melalui diagnosis histologi mengidap MBC yang mana ianya melibatkan 1.3% dari keseluruhan kes kanser payu dara. Empat daripada mereka adalah dari etnik Melayu manakala dua adalah India dan min umur mereka adalah 51 tahun. Di dalam kesemua kes, kanser ini adalah besar, bersaiz lebih dari 5 sm, gred 3 dan bereseptor estrogen negatif. Lima pesakit menjalani mastectomi (empat bersama ‘axillary clearance’ manakala satu tanpa ‘axillary clearance’). Penglibatan kelenjar limfa aksilari didapati pada empat pesakit (tiga pesakit mempunyai tumor jenis epithelia sahaja dan satu tumor dwifasa). Lima pesakit menerima kemoterapi, seorang lagi enggan dirawat secara kemoterapi. Kesemua pesakit mengalami rekuren tumor dengan min masa rekuren selama 9 bulan. Kesimpulannya, MBC jarang berlaku, agresif dan biasanya melibatkan golongan wanita yang sudah menopos. Mereka selalunya bersaiz besar, mempunyai gred histopatologi tinggi dan bereseptor estrogen negatif. Saiz tumor yang besar serta perebakan tumor ke kelenjar limfa menjangkakan prognosis buruk. Walaupun dengan rawatan kemoterapi dan radioterapi, pesakit-pesakit ini mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser berulang atau merebak ke organ lain.
Kata Kunci :
ciri-ciri patologikal,
kanser metaplastik payu dara,
kesan klinikal,