Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk memberi gambaran tentang penyelidikan kanser payudara yang telah dijalankan di Malaysia. Kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti trend penyelidikan kanser payudara di Malaysia. Kami telah mengumpulkan 343 makalah yang berkaitan daripada pangkalan data Scopus. Seterusnya, kami telah menyingkirkan satu makalah duplikasi dan dua makalah yang tidak menepati kriteria kajian kami. Selanjutnya, analisis bibliometrik dan analisis kata kunci sohor kini telah dijalankan ke atas 340 makalah yang selebihnya. Kajian ini mendapati kadar pertumbuhan tahunan bagi penyelidikan kanser payudara di Malaysia adalah 7.4%. Kebanyakan makalah dalam bidang ini ialah makalah kajian dan mempunyai beberapa orang penulis. Penulis yang paling produktif ialah Yip CH yang telah menghasilkan 69 penulisan makalah, manakala Universiti Malaya merupakan universiti yang paling aktif dalam bidang kajian ini di Malaysia. Kami juga mendapati dalam tempoh lima tahun terakhir, tiada tema yang dominan dalam bidang penyelidikan kanser payudara di Malaysia. Kendatipun begitu, dua kluster kajian yang berkaitan dengan kanser payudara di Malaysia yang semakin popular ialah analisis data perubatan dan perubatan kepersisan yang berkaitan dengan kanser payudara genom. Kesimpulannya, penyelidikan kanser payudara di Malaysia berkembang dengan baik, meskipun ada beberapa penambah baik yang diperlukan. Pengurusan sumber yang baik amatlah diperlukan kerana dana dalam bidang kajian ini adalah terhad.
Kata Kunci :
bibliometrik,
kajian,
Kanser payudara,
ktiviti kajian,
Malaysia,