Abstrak
Vaksinasi influenza dan pneumokokal dewasa tidak digunakan sepenuhnya walaupun jelas manfaatnya dari segi pengurangan kematian dan morbiditi di kalangan yang berisiko. Matlamat kajian ini adalah untuk meneliti pengetahuan doktor berkaitan dengan vaksinasi influenza dan pneumokokal, kepercayaan mereka dan halangan terhadap vaksinasi tersebut. Kajian keratan rentas ini dijalankan dengan menggunakan soal selidik bertulis di lapan klinik kesihatan di Bandar Kuching, Sarawak. Sejumlah 108 doktor telah menyertai kajian ini. Umur median peserta ialah 29 tahun (Nisbah antara kuartil 4.0). Median markah pengetahuan vakinasi influenza ialah 9 (Nisbah antara kuartil 3) manakala untuk pneumokokal adalah 8 (Nisbah antara kuartil 4). Peserta perempuan telah mendapat markah yang lebih tinggi untuk kedua-dua vaksin berbanding dengn peserta lelaki (P=0.005 & 0.007). Peratusan tertinggi untuk jawapan betul untuk vaksinasi influenza adalah untuk kesan sampingan (75.3%) manakala yang terendah adalah untuk kontraindikasi (9.3%). Peratusan tertinggi bagi jawapan betul bagi vaksinasi pneumokokal adalah untuk kesan sampingan (69.1%) manakala yang terendah adalah untuk indikasi kumpulan sasaran (6.2%). Kebanyakan peserta percaya bahawa vaksin pneumokokal dan influenza adalah selamat (92.8 & 99%) dan berfaedah (89.7 & 93.8%). Kos vaksin untuk influenza dan pneumokokal (94.8 & 96.9%) dan ketiadaan bekalan (86.6 & 89.7) adalah halangan utama untuk penggunaanya. Doktor penjagaan primer di sektor awam memiliki pengetahuan secara sederhana tentang kedua-dua vaksinasi untuk pesakit dewasa. Adalah dicadangkan supaya kekurangan pengetahuan yang telah dikenalpasti diatasi dengan penambahan ilmu dan halangan perlu diatasi supaya rawatan kesihatan yang lebih komprehensif dapat disampaikan kepada penduduk Malaysia yang semakin berumur.
Kata Kunci :
dewasa,
ilmu,
kepercayaan,
vaksin influenza,
vaksin pneumokokal,