Abstrak
Penyakit Ebola, Sindrom Respratori Akut Coronovirus (SARS-CoV), rabies dan nipah ensefalitis adalah antara contoh penyakit yang berkaitan dengan kelawar dan telah mengejutkan dunia dengan terjadinya wabak. Kefahaman tentang kelawar yang berpotensi menyebabkan penyakit adalah perlu supaya wabak seterusnya dapat dielakkan. Kajian ini dilakukan untuk mengkaji kesesuaian soal-selidik yang bakal digunakan dalam kajian sebenar. Keputusan kajian ini juga dapat memberi gambaran awal tentang pengetahuan, sikap dan amalan tentang penyakit bawaan kelawar. Penduduk di sebuah kampung telah dipilih untuk menyertai kajian ini. Mereka dipilih secara rawak berdasarkan senarai nama yang diberikan oleh wakil penduduk. Soal-selidik yang mengandungi 56 soalan digunakan. Seratus orang penduduk menyertai kajian ini. Skor Cronbach Alpha adalah 0.817. Kebanyakan responden mempunyai skor yang tinggi untuk pengetahuan, sikap dan amalan berkenaan jangkitan bawaan kelawar. Terdapat kaitan positif antara pengetahuan dan amalan tentang jangkitan bawaan kelawar. Walau bagaimanapun, majoriti responden tidak mengetahui bahawa kelawar juga boleh menyebabkan penyakit rabies dan 84% tidak mengetahui tentang vaksin rabies. Keputusan ujian pilot ini agak terhad tetapi dapat memberikan gambaran tentang penyakit bawaan kelawar. Secara keseluruhan, responden mempunyai skor yang tinggi untuk pengetahuna, sikap dan amalan terhadap penyakit bawaan kelawar. Namun, lebih banyak kempen kesedaran harus dilakukan dalam beberapa aspek seperti kaitan antara kelawar dan rabies.
Kata Kunci :
Amalan,
jangkitan zoonosis,
kelawar,
pengetahuan,
sikap,