Abstrak
Kadar kekerapan sakit belakang yang lebih tinggi da;am kalangan profesional penjagaan kesihatan menyebabkan mereka kerap dimasukkan ke hospital, tidak hadir bekerja, dan bersara awal. Kepercayaan pemberi penjagaan kesihatan mengenai sakit belakang adalah penting dalam proses pemulihan pesakit yang menderita akibat sakit belakang. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji insiden sakit belakang dalam kalangan pelajar prasiswazah kesihatan dan kepercayaan mereka terhadap perkaitan antara sakit belakang dan fungsi fizikal. Kajian keratan rentas digunakan untuk mengumpulkan data dalam talian dari pelajar prasiswazah kesihatan bagi semua tahun pengajian dari empat program. Alat soal-selidik "Extended Nordic Musculoskeletal Questionnaire" (NMQ-E) dan "Health Care Providers’ Pain and Impact Relationship Scale" (HC-PAIRS) masing-masing digunakan untuk menentukan sakit belakang dalam kalangan pelajar dan kepercayaan mereka terhadap kesan sakit belakang pada fungsi fizikal. Seramai 239 pelajar mengambil bahagian dalam kajian ini dengan purata usia 21.90 tahun. Pelajar perempuan (74.5%) melebihi lelaki (25.5%). Ramai pelajar pernah mengalami sakit belakang sepanjang hayat hidup (82%) dan 12 bulan terakhir (55.2%) dengan permulaan pada awal usia remaja. Pelajar fisioterapi dan jurupulih carakerja mengalami sakit belakang pada kadar kekerapan yang lebih rendah pada bulan lepas dan hari pengumpulan data. Kadar kekerapan sakit belakang dalam kalangan pelajar lelaki dan perempuan adalah sama, tetapi lebih tinggi dalam kalangan pelajar tua berbanding pelajar muda. Pelajar jurupulih carakerja dan fisioterapi masing-masing didapati mempunyai kepercayaan yang lebih negatif dan positif terhadap sakit belakang. Kadar kekerapan sakit belakang yang lebih tinggi dalam kalangan pelajar pemberi penjagaan kesihatan memerlukan intervensi yang sesuai untuk mengatasinya. Kepercayaan positif yang sedikit dalam kalangan pelajar pemberi penjagaan kesihatan memerlukan tindakan segera untuk menanamkan kepercayaan positif dalam diri mereka.
Kata Kunci :
kakitangan kesihatan,
kekerapan,
kuantitatif,
pelajar,
sakit belakang,