Abstrak
Latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dalam kalangan guru telah diamalkan di serata dunia dan guru seharusnya dilatih secara berkesan. Namun begitu latihan sedemikian masih tidak ditekankan kepada guru-guru di Malaysia. Kajian ini dijalankan dengan bertujuan untuk menguji keberkesanan implementasi buku panduan CELIK CPR terhadap tahap pengetahuan, sikap dan keyakinan diri dalam melakukan CPR dalam kalangan pelajar jurusan pendidikan di Malaysia. Dengan menggunakan reka bentuk kuasi-eksperimen, kajian ini dijalankan dengan melibatkan seramai 20 orang pelajar pendidikan daripada Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA. Ujian berbentuk aneka jawapan dan borang soal selidik digunakan untuk mengukur tahap pengetahuan, sikap dan keyakinan diri pelajar. Pengukuran dilakukan sebelum (minggu ke-2) dan selepas (minggu ke-14) latihan CPR. Dapatan kajian menunjukkan seramai 5 orang pelajar berjaya mencapai skor lulus χ2(1, N = 20) = 5.71; p<0.05, dengan skor pengetahuan pasca 5.40, 95% CI (-7.16, -3.64) lebih tinggi secara signifikan berbanding skor pra t(19) = -6.421; p< .001, beserta saiz kesan yang besar, d = 1.76. Namun begitu, tiada perbezaan yang signifikan bagi skor sikap, t(19) = -0.765; p>0.05 dan keyakinan diri t(19) = 0.00; p>0.05. Secara kesimpulan, pelajar pendidikan mempunyai tahap pengetahuan yang terhad, serta sikap dan keyakinan diri yang rendah terhadap CPR. Justeru, pendedahan awal terhadap CPR adalah amat penting terhadap pengajar pendidikan sebagai persediaan dalam meningkatkan pengetahuan, sikap dan keyakinan diri yang berpotensi dalam meningkatkan pengetahuan pelajar di sekolah dan orang awam terhadap CPR.
Kata Kunci :
keyakinan diri,
Pelajar Pendidikan,
pengetahuan,
resusitasi kardiopulmonari,
sikap,