Abstrak
Ketam adalah sumber nutrien berharga iaitu protein dan lipid berfungsi yang diambil secara meluas. Walau bagaimanapun, prevalen alergi terhadap ketam telah meningkat beberapa tahun kebelakangan ini. Dalam usaha untuk lebih memahami alergi terhadap ketam, adalah penting untuk mengenal pasti alergen-alergen ketam. Tujuan kajian ini adalah untuk membandingkan protein pengikat-IgE pada ekstrak ketam lumpur (Scylla serrata) mentah dan yang dimasak. Ekstrak ketam lumpur mentah dah yang dimasak telah disediakan. Profil protein dan corak kereaktifan-IgE telah dikenalpasti dengan menggunakan elektroforesis gel natrium dodesil sulfat berpoliakrilamida (SDS-PAGE), diikuti dengan pemblotan imuno menggunakan serum daripada 21 orang pesakit yang positif dalam ujian cucuk kulit (SPT). Dalam SDS-PAGE, sebanyak 20 jalur protein (12 hingga 250 kDa) telah diperhatikan dalam ekstrak ketam mentah manakala ekstrak yang dimasak menunjukkan sedikit jalur. Jalur protein antara 40 hingga 250 kDa adalah sensitif terhadap penyahaslian haba dan tidak dapat diperhatikan lagi dalam ekstrak yang dimasak. Dalam eksperimen pemblotan imuno, ekstrak mentah dan yang dimasak masing-masing menunjukkan 11 dan 4 protein pengikat-IgE, dengan berat molekul antara 23 dan 250 kDa. Protein 36 kDa yang tahan haba, yang sepadan dengan tropomiosin ketam telah dikenal pasti sebagai alergen major pada kedua-dua ekstrak. Sebagai tambahan, protein 41 kDa yang sensitif haba yang dipercayai adalah arginine kinase telah dikenal pasti sebagai alergen major dalam ekstrak mentah. Alergen minor yang lain juga telah diperhatikan pada pelbagai berat molekul.
Kata Kunci :
arginina kinase,
pemblotan imuno,
Scylla serrata,
tropomiosin,