Abstrak
Populasi manusia di seluruh dunia semakin meningkat dan peningkatan ini semakin ketara dalam kalangan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas. Penduduk warga tua ini semakin menghampiri 13% daripada populasi global. Akibatnya, penyakit berkaitan dengan geriatrik dijangka akan meningkat dan memberi tekanan khususnya kepada sistem penjagaan kesihatan. Tujuan kajian ini adalah untuk menerokai corak pengamalan khidmat penjagaan kesihatan di hospital dalam kalangan warga tua di hospital tertiari awam di Malaysia. Kajian keratan rentas retrospektif telah dijalankan dengan persampelan rekod perubatan pesakit warga emas dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas daripada empat hospital tertiari di Malaysia. Data-data telah dikumpulkan melalui penggunaan borang soal selidik berstruktur. Sejumlah 434 rekod perubatan yang memenuhi kriteria kajian ini telah dikenal pasti. Sementara itu, sejumlah 561 rekod penjagaan pesakit dalaman telah dicatatkan. Daripada jumlah ini, sebanyak 54.7% penjagaan adalah di wad perubatan. Purata tempoh perawatan ialah 5.8 hari bagi setiap penjagaan. Penyelidikan makmal bagi setiap pesakit warga tua mencatatkan nilai purata sebanyak 27.48 semasa tempoh penjagaan. Jumlah pengambilan ubat pula ialah 8.91 untuk setiap pesakit sementara jumlah pengambilan antibiotik pula ialah 0.89 bagi setiap pesakit semasa tempoh penjagaan tersebut. Pesakit warga tua di Malaysia memerlukan jumlah penjagaan kesihatan yang lebih tinggi. Pihak bertangungjawab disarankan agar meningkatkan promosi berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit secara kendiri yang berupaya mengurangkan kadar penjagaan kesihatan yang tinggi di hospital dalam kalangan warga tua.
Kata Kunci :
komorbiditi,
Malaysia,
Pengalaman Penjagaan Kesihatan,
Penghospitalan,
warga tua,