Abstrak
Kepimpinan, satu seni dalam memotivasi diri dan individu lain bagi mencapai halatuju yang sama, memainkan peranan penting kepada pelajar pergigian agar mereka bersedia sebagai pemimpin yang berupaya mempromosikan kesihatan pergigian pada masa hadapan. Kecerdasan emosi (EI) adalah keupayaan untuk memahami, memanfaatkan dan mengurus emosi dengan cara positif yang berkemungkinan sangat mempengaruhi tahap kepimpinan dalam kalangan pelajar pergigian. Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti pengaruh EI terhadap kepimpinan diri (SL) pelajar-pelajar prasiswazah pergigian serta untuk menilai keketaraan faktor-faktor demografi (seperti universiti pengajian, tahap pengajian akademik dan jantina) terhadap SL pelajar. Satu kajian keratan rentas telah dilaksanakan di antara tahun 2020-2021 yang melibatkan prasiswazah pergigian di dua buah universiti di Kurdistan (Hawler Medical University [HMU] dan University of Duhok [UOD]) serta sebuah universiti di Malaysia (Universiti Kebangsaan Malaysia [UKM]). Sebanyak 236 pelajar pergigian telah mengambil bahagian di dalam kajian ini dan menjawab dua soal selidik iaitu; Schutte-Self Report EI Test (SSREIT) dan Revised-Self Leadership Questionnaire (RSLQ). Hasil kajian menunjukkan terdapat hubungkait positif yang ketara secara statistik (p<0.01) di antara tahap EI dan SL, dengan 37% daripada variasi SL ditentukan oleh EI. SL di kalangan pelajar prasiswazah di Malaysia lebih tinggi berbanding di Kurdistan. Pelajar perempuan mumpunyai SL yang lebih baik berbanding pelajar lelaki. Kadar maklum balas yang diterima di HMU, UOD dan UKM, masing-masing adalah 70%, 43% dan 59%. Kesimpulannya, EI memainkan peranan utama dalam membangunkan kemahiran kepimpinan dalam kalangan prasiswazah pergigian. Oleh itu, EI merupakan elemen utama yang perlu dipertimbangkan bagi pembangunan kepimpinan mereka. Selain itu, jantina dan universiti pengajian juga menunjukkan pengaruh yang ketara terhadap SL prasiswazah pergigian.
Kata Kunci :
kecerdasan emosi,
kepimpinan,
pergigian,