Abstrak
Terdapat kekurangan dalam konsensus tentang pengunyahan gula-gula getah semasa tempoh berpuasa sebelum pembedahan disebabkan oleh bukti yang bercanggah. Tujuan penyelidikan ini adalah untuk mengenalpasti kesan-kesan pengunyahan gula-gula getah ke atas isipadu dan pH cecair perut. Kajian prospektif dan secara rawak ini telah dilakukan ke atas pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan elektif dengan pembiusan umum. Seramai 60 orang pesakit yang telah berpuasa semalaman dibahagikan antara kumpulan “tanpa gula-gula getah” sebagai kumpulan kawalan dan “kumpulan gula-gula getah” sebagai kumpulan intervensi yang mengunyah satu keping gula-gula getah setelah dipanggil ke dewan bedah. Pesakit-pesakit tersebut kemudiannya ditanya samada pengunyahan gula-gula getah ini dapat mengatasi rasa lapar atau mengurangkan kegelisahan. Isipadu dan pH cecair perut ini diukur sebaik sahaja proses pembiusan diaruhkan. Pengunyahan gula-gula getah tidak menunjukkan kesan yang ketara ke atas isipadu cecair perut [30.4+13.6 ml (kawalan) vs 29.1+11.6 ml (intervensi), p = 0.693] dan pH cecair perut [1.4+0.4 (kawalan) vs 1.6+0.4 (intervensi), p = 0.05) disebaliknya mengurangkan kegelisahan sebanyak 90.3% di kalangan pesakit yang mengunyah gula-gula getah. Pengunyahan gula-gula getah sebelum pembedahan didapati tidak meningkatkan isipadu cecair perut atau menurunkan lagi keasidan cecair perut serta dapat mengurangkan kegelisahan di kalangan pesakit sebelum pembedahan.
Kata Kunci :
aspirasi,
berpuasa,
isipadu cecair perut,
pengunyahan gula-gula getah,
pH cecair perut,