Abstrak
E-rokok telah mendapat populariti di serata dunia. Oleh kerana penggunaanya mendedahkan risiko kesihatan kepada pengguna, adalah penting untuk menilai niat mereka untuk berhenti dari tabiat ini. Kajian ini bertujuan untuk menentukan ciri-ciri penggunaan e-rokok, kesannya terhadap rokok dan niat pengguna untuk berhenti e-rokok dan rokok. Sejumlah 377 pengguna e-rokok telah direkrut dari 3 kedai vape di Bandar Baru Bangi, Selangor. Corak penggunaan e-rokok, penggunaan rokok tembakau dan niat mereka untuk berhenti di nilai dengan menggunakan borang soal selidik yang diisi oleh peserta. Kebanyakan (70%) peserta adalah pengguna e-rokok sahaja manakala 30% adalah pengguna dual (rokok tembakau dan e-rokok). Tempoh median penggunaan e-rokok adalah 2 (IQR 2) tahun. Hampir semua peserta (98.4%) menggunakan e-rokok generasi ketiga dan nikotin 6 mg merupakan kepekatan yang paling digemari (63.7%). Sekitar 92% peserta, terutamanya perokok berat dapat mengurangkan bilangan rokok tembakau selepas memulakan e-rokok. Majoriti (79.6%) pengguna dual juga mempunyai pengurangan penggunaan rokok tembakau dengan penggunaan semasa median sebanyak 5 (IQR 5.0) rokok sehari. Kebanyakan (87%) pengguna e-rokok berhasrat untuk berhenti tabiat itu suatu hari nanti, namun kebanyakan (63.1%) mereka berada di peringkat pra-kontemplasi. Pengguna e-rokok yang kurang dari 2 tahun lebih cenderung untuk berhenti tabiat ini berbanding dengan pengguna yang lebih 2 tahun (p = 0.005). Kesimpulannya, terdapat lebih banyak pengguna e-rokok sahaja daripada pengguna dual. Penggunaan e-rokok boleh mengurangkan bilangan rokok terutamanya di kalangan perokok berat. Kebanyakan pengguna e-rokok mempunyai niat untuk berhenti tabiat ini tetapi tidak dalam masa terdekat dan penggunaan e-rokok yang lebih lama mungkin menghalang niat mereka untuk berhenti.
Kata Kunci :
Berhenti merokok,
e-rokok,
elektronik,
niat,
rokok,
vape,