Abstrak
Keraguan vaksin adalah ancaman global terhadap kesihatan awam yang disebabkan oleh penyampaian dan penerimaan maklumat salah tentang penyakit dan kesihatan. Kajian kami bertujuan untuk menilai kesediaan dan niat untuk menerima vaksin COVID-19 dalam kalangan pekerja kesihatan di satu institusi di Semenanjung Malaysia dan menilai kebolehlaksanaan dan keberkesanan program pendidikan untuk mengatasi masalah keraguan vaksin dalam kalangan pekerja kesihatan. Tinjauan awal kami dalam kalangan 1,616 responden mendapati bahawa 25.3% pekerja kesihatan sama ada enggan atau teragak-agak terhadap vaksinasi COVID-19; 238 responden (58.2%) daripadanya tidak mempunyai kontraindikasi klinikal mutlak. Program pendidikan mudah alih pelbagai aspek telah dilaksanakan melibatkan antaranya (i) siri pendidikan perubatan berterusan (CME) kepada 72 pegawai perhubungan yang dipilih, (ii) sesi taklimat berskala kecil kepada unit individu dan/atau jabatan atas permintaan, dan (iii) sesi kaunseling individu atas permintaan. Program ini mengambil masa lebih empat minggu sebelum pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan melibatkan pekerja kesihatan. Penilaian semula penerimaan vaksin COVID-19 dalam kalangan pekerja kesihatan mendapati terdapat pengurangan ketara golongan yang menolak vaksinasi COVID-19 tanpa kontraindikasi mutlak (25.3% berbanding 2.8%). Sebab utama yang diberikan antara mereka yang masih teragak-agak untuk menerima vaksin adalah kerana kehamilan (bukan trimester pertama) dan merancang untuk hamil dalam masa terdekat. Oleh yang demikian, kajian kami menunjukkan keberkesanan interaksi fizikal dan sesi pengajaran dalam menghasilkan komunikasi efektif dan memberikan pemahaman yang lebih baik, terutamanya apabila menangani mitos, maklumat salah dan salah tanggapan berkaitan vaksin COVID-19.
Kata Kunci :
celik kesihatan,
COVID-19,
Malaysia,
pendidikan kesihatan,
promosi kesihatan,