Abstrak
Resusitasi kardiopulmonari (CPR) yang dilakukan di tempat kejadian terhadap mangsa serangan jantung telah menunjukkan peningkatan peluang mangsa untuk pulih. Walau bagaimanapun, kadar CPR ini masih rendah di seluruh dunia disebabkan oleh kekurangan pengetahuan dan kemahiran dalam melakukan CPR di kalangan orang awam. Melatih masyarakat dengan kaedah CPR adalah salah satu cara untuk meningkatkan kadar bantuan CPR di tempat kejadian. Kajian ini adalah untuk membandingkan keberkesanan dalam pemerolehan dan pengekalan pengetahuan dan kemahiran CPR di kalangan pelajar sekolah menengah di Lembah Klang yang dilatih oleh guru sekolah dan pelajar perubatan. Kami telah memilih lima orang guru sekolah dan lima orang pelajar perubatan sebagai pengajar. Mereka telah dilatih dalam beberapa sesi oleh pengajar yang diperakui oleh American Heart Association (AHA) dengan menggunakan modul pengajaran CPR bantuan video. Empat puluh empat pelajar sekolah menengah ini dibahagikan kepada dua kumpulan, kumpulan guru, dan kumpulan pelajar perubatan. Kami membandingkan pengetahuan dan psikomotor kedua-dua kumpulan ini pada tiga peringkat; sebelum, selepas dan pada tiga bulan selepas latihan CPR. Keputusan selepas latihan menunjukkan pengetahuan dan kemahiran psikomotor pelajar dalam kumpulan guru meningkat setanding dengan kumpulan pelajar perubatan (skor median perbezaan 3 vs 2, p>0.05) dan (perbezaan median 5 vs 7, p<0.05). Tahap pengetahuan dan kemahiran menurun sedikit selepas 3 bulan tetapi kekal jauh lebih tinggi daripada permulaan untuk kedua-dua kumpulan. Sebagai kesimpulan, guru dapat mengajar CPR kepada pelajar mereka sebaik pelajar perubatan. Kajian ini telah membuka peluang untuk melatih CPR kepada orang awam dengan lebih meluas.
Kata Kunci :
bantuan asas kehidupan,
pelajar sekolah,
resusitasi kardiopulmonari,