Abstrak
Kami melaporkan dua kes leukemia akut bifenotipik yang didiagnos di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), ciri-ciri klinikal, hematologi dan tindakbalas penyakit ini terhadap kemoterapi. Kedua-dua pesakit adalah wanita pertengahan umur yang menunjukkan pembengkakan hati dan limpa serta bilangan sel darah putih yang tinggi. Sum-sum tulang menunjukkan kepadatan sel dimana 90% terdiri dari sel-sel leukemia pelbagai saiz. Analisa sitokimia menunjukkan lebih daripada 3% adalah positif terhadap ujian peroksidase dan sel-sel leukaemia yang lebih kecil menunjukkan positiviti secara blok terhadap ujian periodic acid-schiff (PAS). Ujian imunofenotip menunjukkan ko-ekspresi dwi penanda sel CD 33 dan CD 19, CD 19 dan CD34, intra CD22, intra TdT dan intraMPO. Analisa sitogenetik daripada salah seorang pesakit tersebut menunjukkan kehadiran kromosom Philadelphia yang disahkan dengan ujian Fluorescence In Situ Hybridisation (FISH). Analisa molekular juga menunjukkan kehadiran protein fusi BCR-ABL. Kedua-dua pesakit menerima rawatan kemoterapi yang terdiri daripada daunorubicin dan cytosine arabinoside. Namun begitu, pesakit yang mempunyai kromosom Philadelphia BCR-ABL tidak berjaya mencapai remisi morfologi selepas kemoterapi induksi. Memandangkan prognosis buruk pesakit leukemia ini, pemindahan sel-sel stem periferi dirancangkan untuk kedua-dua pesakit ini.
Kata Kunci :
faktor-faktor prognosis,
immunofenotip,
leukemia akut bifenotipik,
rawatan kemoterapi,
sitogenetik,