Abstrak
Bakteremia merupakan salah satu komplikasi yang kerap dan serius dalam transplantasi sel stem hematopoietik (HSCT). Sehingga kini, tiada data yang diterbitkan mengenai kerentanan antibiotik dan kesudahan klinikal di kalangan penerima HSCT di Malaysia. Matlamat kajian ini adalah untuk menganalisis kekerapan, kerentanan antibiotik dan kesudahan klinikal akibat bakteremia yang dihidapi oleh penerima HSCT dalam tempoh 100 hari selepas transplantasi. Kami secara retrospektif menganalisa kadar kekerapan, pola kerentanan antibiotik dan kadar kematian dikalangan penerima HSCT di satu pusat perubatan selama tempoh 5 tahun (2013-2017). Tiga puluh daripada 85 penerima HSCT menghidapi bakteremia dengan 40 kultur positif, menghasilkan kadar kekerapan bakteremia sebanyak 47% (40/85). Gram negatif bakteria (GNB) menyumbang kepada 60.5% daripada jumlah pencilan. Enterobacteriaceae dan Coagulase negatif Staphylococcus (CoNS) adalah patogen yang paling kerap ditemui. GNB menunjukkan kadar kerentanan antibiotik sangat tinggi terhadap ciprofloxacin. Antibiotik empirikal pilihan pertama hanya berkesan terhadap 30% penerima yang menghidap demam neutropenia (DN). Kadar kematian disebabkan oleh bakteremia adalah 13.3% (4/30), di mana 50% disebabkan oleh kerentanan pelbagai antibiotik (MDR) Acinetobacter dan 25% extended spectrum beta-lactamase (ESBL) Enterobacteriaceae. Bakteremia merupakan komplikasi awal yang kerap dan mengancam nyawa di kalangan penerima HSCT di mana MDR GNB merupakan penyebab utama kematian. Kadar kerentanan yang tinggi kepada ciprofloxacin dan kegagalan antibiotik empirikal pilihan pertama untuk merawat DN memerlukan penilaian menyeluruh kepada protokol antibiotik pencegahan dan rawatan empirikal yang sedia ada. Penemuan ini mempunyai implikasi klinikal yang penting mengenai penggunaan dan pemilihan kedua-dua rejimen antibiotik profilaktik dan empiric untuk merawat DN.
Kata Kunci :
bakteremia,
Kadar Kematian,
kerentanan antibiotik,
transplantasi sel stem hematopoietik,