Abstrak
Kajian ini menyelidik faktor yang mempengaruhi pengunaan AED (Defibrilasi automatik luar) ke atas serangan jantung di luar hospital di kalangan paramedik Jabatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Ini adalah kajian prospektif rentas yang dijalankan dari bulan Disember 2013 hingga Januari 2014. Paramedik dari Jabatan Kecemasan PPUKM didaftarkan dan dinilai dengan menggunakan soal selidik kendiri yang terdiri daripada pelbagai bahagian termasuk penilaian pengetahuan, latihan dan kemahiran. Lima puluh tiga responden telah mengambil bahagian. Enam puluh dua peratus responden pernah menggunakan AEDs di luar hospital. Hanya 83% responden mengakui bahawa mereka bersedia untuk menggunakannya jika perlu. Satu korelasi positif dilihat antara umur dan pengalaman kerja dengan pengetahuan mengenai AED (p=0.001 dan p=0.005 masing-masing). Graduan institusi kerajaan mempunyai pengetahuan yang lebih baik dan tahap keyakinan lebih tinggi daripada graduan institusi swasta ‘p<0.001). Korelasi yang signifikan juga dilihat antara pengalaman kerja dan tahap keyakinan dalam membuat keputusan untuk menggunakan AED (p=0.006), penggunaan AED (p=0.019) dan penyelesaian masalah komplikasi yang timbul daripada penggunaan AED (p=0.002). Faktor utama mengurangkan tahap keyakinan penggunaan AED adalah latihan yang terbatas (3.6%) yang menyebabkan pengurangan keyakinan untuk memulakan penggunaan (45.3%). 88.6% bersetuju bahawa latihan adalah penting sebelum sebarang penggunaan AED. Empat puluh satu peratus daripada responden menyatakan bahawa orang awam Malaysia tidak bersedia menggunakan AED. Kesimpulannya pengunaan dan pengetahuan dalam penggunaan AED di kalangan paramedik masih rendah dan perlu latihan yang lebih intensif.
Kata Kunci :
defibrilasi automatik luar,
di luar hospital,
Malaysia,
paramedik,
serangan jantung,