Abstrak
Dalam kajian ini, pengimejan resonans magnet kefungsian (fMRI) digunakan untuk mengkaji pengkhususan kefungsian dalam korteks auditori manusia semasa mendengar. Paradigma fMRI senyap digunakan untuk mengurangkan artifak bunyi pengimbas di atas imej kefungsian. Subjek dikehendaki menumpukan perhatian kepada stimulus hingar putih yang diperdengarkan secara binaural pada keamatan 70 dB lebih tinggi daripada aras pendengaran manusia normal. Pengkhususan kefungsian dikaji menggunakan perisian Pemetaan Statistik Berparameter (SPM5) yang berasaskan Matlab melalui analisis kesan malar (FFX), kesan rawak (RFX) dan konjunksi. Analisis individu ke atas semua subjek menunjukkan pengaktifan bilateral yang tidak simetri di antara hemisfera kanan dan kiri pada kawasan Brodmann (BA) 22, 41 dan 42, melibatkan korteks auditori primer dan sekunder. Peratus perubahan isyarat didapati lebih besar di ketiga-tiga BA22, 41 dan 42 kanan berbanding dengan yang di sebelah kiri (p>0.05). Purata bilangan voksel aktif bagi kesemua kawasan Brodmann tersebut juga didapati lebih tinggi di hemisfera kanan berbanding dengan kiri (p>0.05). Keputusan FFX menunjukkan titik pengaktifan maksimum berlaku pada BA41 kanan dengan sebanyak 599±1 voksel aktif dicerap di lobus temporal kanan berbanding 485±1 di lobus temporal kiri. Keputusan FFX didapati tekal dengan keputusan purata bagi kesemua subjek. Analisis konjunksi kemudiannya menunjukkan BA41 kanan dan BA22 kiri sebagai kawasan pengaktifan sepunya dalam kesemua subjek. Keputusan yang diperolehi mengesahkan pengkhususan korteks auditori kanan dalam pemprosesan stimulus bukan pertuturan.
Kata Kunci :
Analisis kesan malar (FFX),
Analisis kesan rawak (RFX),
Analisis kon-junksi,
Kawasan Brodmann (BA),
Pemetaan Statistik Berparameter (SPM),
Pengimejan Resonans Magnet Kefungsian (fMRI),