Abstrak
Sepsis menyebabkan kadar kematian dan morbiditi pesakit di hospital yang tinggi. Kepekatan laktat statik dan kadar pengurangan paras laktat awal dicadangkan sebagai faktor utama penentuan kadar kematian pesakit sepsis. Kajian ini mengaplikasikan kepekatan laktat dan kadar pengurangan paras laktat pada tempoh enam jam pertama di Jabatan Kecemasan untuk meramalkan kadar kematian pesakit sepsis selepas 28 hari. Pesakit yang menghidapi sepsis, sepsis teruk dan renjatan sepsis yang menerima rawatan di jabatan kecemasan Universiti Kebangsaan Malaysia akan dimasukkan dalam kajian ini. Kepekatan laktat static darah pesakit pada masa permulaan kemasukan pesakit, pada satu jam dan pada enam jam akan dikaji. Pesakit kemudiannya diberi rawatan yang berpatutan mengikut diagnosis sepsis, iaitu rawatan piawai atau rawatan awal berasalkan sasaran untuk sepsis. Selepas 28 hari, pesakit akan dihubungi melalui telefon, emel atau laporan perubatan pesakit. Kemudian, pesakit akan dikatogorikan kepada golongan yang hidup atau mati. Dalam kajian ini, kepekatan laktat menujukan hubung kait yang erat dengan golongan yang mati berbanding dengan golongan yang hidup dalam ketiga-tigaan masa, iaitu jam 0, 1 dan 6 (p<0.05). Akan tetapi, kadar pengurangan paras laktat tidak menunjukkan sebarang hubung kait dengan kadar kematian pesakit selepas 28 hari. Kesimpulannya, kepekatan laktat static merupakan petunjuk yang baik untuk meramalkan kadar kematian sepsis berbanding dengan kadar pengurangan paras laktat. Walaupun kadar pengurangan paras laktat tidak dapat membuktikan sebarang hubung kait dengan kadar kematian selepas 28 hari, kajian kami menunjukkan ia masih boleh dimanfaatkan sebagai pemantau yang baik semasa merawat pesakit sepsis.
Kata Kunci :
Kadar Kematian,
Kadar Pengurangan Laktat,
paras laktat,
Sepsis,