Abstrak
Modulasi pengekspresan gen dalam tapak jalan isyarat berupaya melanjutkan jangka hayat Caenorhabditis elegans (C. elegans) namun kesannya terhadap kesihatan masih tidak jelas. Tujuan kajian ini adalah untuk menentukan tahap kesihatan nematoda mutan daf-2, pmk-3 dan sgk-1. Tahap kesihatan nematoda yang dikultur dalam media pertumbuhan nematoda yang mengandungi Escherichia coli telah dinilai pada hari ke-5, ke-10 dan ke-15 kedewasaan. Kerintangan terhadap haba ditentukan dengan menganalisis kadar jangka hayat nematoda pada suhu 37°C. Kerintangan terhadap tekanan oksidatif pula diukur melalui daya tahan nematoda setelah terdedah kepada 10mM hidrogen peroksida. Kapasiti pergerakan dianalisis dengan mengira jarak yang dilalui pada media pepejal dan jumlah bilangan lenturan badan dalam media cecair. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa nematoda mutan dapat bertahan lebih lama daripada nematoda jenis liar. Mutan daf-2 dan pmk-3 menunjukkan peningkatan pada kapasiti pergerakan pada hari ke-5 dan ke-10 dalam media pepejal dan cecair tetapi menunjukkan hasil yang serupa dengan nematoda jenis liar pada hari ke-15. Mutan sgk-1 turut menunjukkan peningkatan pada kapasiti pergerakan, namun hanya pada hari ke-5 bagi kedua-dua media. Peningkatan ketahanan nematoda mutan terhadap tekanan haba dan oksidatif adalah ketara. Kesimpulannya, mutasi gen daf-2, pmk-3 dan sgk-1 dapat meningkatkan daya tahan terhadap tekanan haba dan oksidatif tetapi tidak meningkatkan pergerakan semasa usia lanjut dalam C. elegans.
Kata Kunci :
C. elegans,
jangka hayat,
kesihatan,
pergerakan,
stress,