Abstrak
Kami melaporkan kes panuveitis sitomegalovirus (CMV) kedua-dua mata dalam seorang wanita yang sihat. Seorang wanita Melayu berusia 62 tahun tanpa sebarang komorbiditi hadir dengan penglihatan kabur yang beransur-ansur dan semakin teruk pada mata kiri (OS), diikuti oleh mata kanan (OD) selama lima bulan. Ketajaman penglihatan beliau adalah pergerakan tangan OD dan tiada persepsi cahaya OS. Pemeriksaan mendapati terdapat mendakan keratik dan sel pada ruang anterior kedua-dua mata (OU) dengan rubeosis iridis OD dan seclusio pupillae OS. Funduskopi menunjukkan vitritis gred 3+ dengan kawasan retinitis konfluen yang berdarah di kutub posterior OD manakala visualisasi yang buruk OS disebabkan oleh vitritis padat gred 4+. Pemeriksaan ultrabunyi B-scan OS menunjukkan vitritis padat dan retina yang lekang. Sampel akueus OS diuji positif untuk CMV DNA melalui tindak balas rantai polimerase virus. Selepas dua minggu rawatan dengan gansiklovir intravena, penglihatan pesakit bertambah baik kepada 6/36 OD dan pengiraan jari OS. Kelewatan mendapatkan rawatan untuk jangkitan okular CMV dalam pesakit imunokompeten boleh menjadi teruk dengan vitritis yang padat dan komplikasi retina. Prognosis visual adalah kurang bagus disebabkan oleh nekrosis retina dan lekang urat saraf mata.
Kata Kunci :
Gansiklovir; imunokompeten; lekang urat saraf mata; panuveitis kedua-dua mata; sitomegalovirus,