Abstrak
Kekurangan aktiviti fizikal sewaktu kehamilan boleh menyebabkan komplikasi yang tidak diingini kepada ibu dan juga kandungan seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi sewaktu kehamilan dan juga depresi selepas bersalin. Oleh sebab itu, adalah penting untuk mengenal pasti faktor yang mempengaruhi aktiviti fizikal semasa kehamilan untuk merancang dan melaksanakan program intervensi terhadap golongan yang berisiko tinggi ini. Artikel jurnal tentang faktor yang mempengaruhi aktiviti fizikal semasa kehamilan telah dicari dengan menggunakan pangkalan data Pub Med dan Ovid, dari 2014 sehingga 2019. Artikel terpilih telah disemak oleh dua pengarang dan dinilai secara kritis menggunakan Mixed Method Assessment Tool 2018. Sebanyak 16 artikel telah dipilih. Faktor-faktor yang mempengaruhi aktiviti fizikal secara positif semasa kehamilan ialah berseronok, status ekonomi yang lebih tinggi, trimester awal dan berat badan yang lebih tinggi. Manakala faktor yang mempengaruhi aktiviti fizikal secara negatif semasa kehamilan ialah kekurangan pengetahuan, kekurangan sokongan sosial, mempunyai anak lebih dari seorang, kesakitan dan ketidakselesaan fizikal, status etnik minoriti, dan kebimbangan terhadap keselamatan bayi. Walaupun berseronok merupakan salah satu pendorong aktiviti fizikal yang paling banyak dilaporkan semasa kehamilan, penyebab yang mendorong kepada kekurangan aktiviti fizikal sewaktu kehamilan yang paling banyak dilaporkan adalah kekurangan pengetahuan. Selain itu, sokongan sosial daripada rakan dan keluarga juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan ibu hamil untuk bergiat aktif. Kajian sistematik ini menekankan keperluan untuk menambah baik program pendidikan kesihatan sedia ada mengenai aktiviti fizikal semasa kehamilan, yang sepatutnya diperluaskan dan disasarkan kepada keseluruhan komuniti, tidak tertakluk kepada golongan wanita hamil itu sahaja bagi memastikan penerimaan dan keberkesanan yang lebih tinggi.
Kata Kunci :
aktif,
Aktiviti fizikal,
pendidikan kesihatan,
pendorong,
wanita hamil,