Abstrak
Pengumpulan cairan subaponeurotik ialah pembengkakkan di bawah kulit kepala yang jarang berlaku dalam kalangan bayi. Kami melaporkan seorang bayi lelaki berusia 10 minggu yang mempunyai pembengkakkan kulit kepala selama lima hari tanpa mengalami sebarang kecederaan di kepala. Terdapat pembengkakkan yang lembut, boleh digerakan, tidak sakit apabila ditekan, bertransiluminasi, berfluktuasi di bahagian parieto-oksipital posterior dan tidak dibatasi oleh garisan sutura. Ultrasonografi kranial menunjukkan pengumpulan subaponeurotik di bahagian parieto-oksipital posterior tanpa berkomunikasi langsung dengan ruang intrakranial atau parenkim otak. Bayi ini dirawat secara konservatif. Pembengkakkan ini pulih secara spontan selepas 4 minggu. Kekurangan kesedaran sebahagian doktor di Jabatan Kecemasan tentang keadaan ini akan menyebabkan siasatan, kemasukkan wad dan intervensi yang tidak diperlukan. Diharapkan laporan kes ini dapat memberikan keyakinan kepada para doktor di Jabatan Kecemasan untuk membuat diagnosa secara tepat dan merawat kes pengumpulan cairan subaponeurotik ini dengan optimal.
Kata Kunci :
bayi,
kulit kepala,
Subaponeurotik,
subgaleal,