Abstrak
Schwannoma saraf kranial ke VII (fasial) merupakan ketumbuhan yang perlahan tumbesarannya dan jarang berlaku, yang terhasil dari sel Schwann pada neurilemma. Kajian retrospektif ke atas 6 pesakit yang didiagnosa dengan Schwannoma saraf kranial fasial antara tahun 1998 dan 2008 telah dijalankan. Kajian menunjukkan 3 pesakit adalah perempuan dan selebihnya lelaki. Purata umur mereka adalah 42 tahun (dari 19 hingga 66 tahun). Ketumbuhan tersebut berasal dari bahagian kanal auditori internal (2 pesakit), intra-temporal (3 pesakit) dan intraparotid (1pesakit). Kesemua ketumbuhan tersebut telah dibedah dengan jayanya dan kesinambungan saraf kranial fasial dapat dikekalkan dalam 2 pesakit. Kajian menunjukkan bahawa gejala Schwannoma saraf kranial fasial boleh menyerupai ketumbuhan jenis lain yang melibatkan bahagian saraf kranial fasial yang sama. Pakar bedah mesti sentiasa peka dengan kewujudannya terutamanya bila pesakit datang dengan gejala kelemahan saraf fasial yang progresif. Pesakit pula sentiasa perlu diberitahu mengenai kemungkinan komplikasi saraf fasial lumpuh kerana diagnosa Schwannoma saraf kranial fasial hanya dapat dikenalpasti semasa waktu pembedahan.
Kata Kunci :
kelenjar parotid,
Schwannoma saraf kranial fasial,
tulang temporal,