Abstrak
Kanser kulit primer jenis berlendir (KKPB) adalah kanser yang jarang berlaku. Ia sejenis kanser yang lambat membiak dan berkembang dengan perlahan tetapi boleh berulang secara lokal, merosakkan struktur setempat. Majoriti kanser berlendir yang berlaku pada kulit adalah kanser metastatik yang berasal dari organ yang lain. Melihat dari sudut morfologi, KKPB hampir tidak dapat dibezakan daripada deposit metastatik sekunder. Kami melaporkan kes seorang lelaki yang berusia 44 tahun, dengan kes KKPB di bahagian kulit ketiak kiri yang telah merebak ke kelenjar limfa setempat. Ketepatan diagnosis patologi adalah mencabar tetapi ia telah dibantu oleh beberapa pakar patologi dari pusat yang berbeza. Satu mesyuarat pelbagai disiplin menyimpulkan bahawa pendekatan pengurusan terbaik adalah dengan melakukan pembedahan dengan margin sekitar yang luas dan membuang kelenjar limfa di ketiak secara total, diikuti oleh terapi adjuvan tamoxifen. Peranan terapi adjuvan radioterapi juga telah disarankan tetapi ditolak oleh pesakit. Kini setelah 22 bulan sejak mula disahkan mengalami KKPB, pesakit dilaporkan sihat tanpa tanda kanser berulang.
Kata Kunci :
Estrogen,
indolen,
kanser kulit ganjil,
metastasis kulit sekunder,