Abstrak
Kepatuhan terhadap protokol temujanji pasca-pendedahan mencerminkan kesinambungan penjagaan dalam pengurusan kecederaan alatan tajam di kalangan kakitangan kesihatan (HCWs). Kajian ini bertujuan untuk menentukan prevalens kepatuhan terhadap temujanji pasca-pendedahan serta faktor-faktor yang berkaitan dengannya di hospital awam. Kajian keratan rentas ini telah dijalankan di Hospital Melaka, Malaysia. Semua 250 kes kecederaan alatan tajam yang dilaporkan di kalangan HCWs dipilih menerusi persampelan dalam tempoh lima tahun iaitu antara tahun 2013 hingga 2017. Data daripada Klinik Penyakit Berjangkit diekstrak dan dianalisa secara deskriptif melalui multivariat regresi logistik binari dengan menggunakan perisian IBM SPSS versi 22. Kakitangan kesihatan yang mengalami kecederaan alatan tajam kebanyakannya perempuan (64.4%) dengan median umur 26 (IQR 24 hingga 28) tahun, mempunyai dua tahun atau lebih pengalaman (36.8%), mempunyai status negatif bagi HIV/HBV/HCV (68.4%) dan bukan paramedik (84.4%). Prevalens kepatuhan terhadap temujanji pula ialah 36.8%. Paramedik lebih mematuhi temu janji (56.4%) berbanding kumpulan bukan paramedik. Hanya jenis peranti (p=0.049) dan kategori pekerjaan (p=0.006) mempunyai perkaitan yang signifikan dalam kepatuhan terhadap temujanji. Paramedik mempunyai 2.66 kali ganda odds kepatuhan terhadap temujanji pasca-pendedahan berbanding dengan bukan paramedik (95%CI: 1.32, 5.36; p = 0.006) apabila dilaraskan berdasarkan jenis peranti. Berdasarkan kajian kami, paramedik menunjukkan contoh HCWs yang baik dengan prevalens kepatuhan lebih tinggi berbanding dengan bukan paramedik. Walau bagaimanapun, prevalens kepatuhan masih rendah secara keseluruhannya. Oleh itu, kajian lanjut bagi mencari faktor penentu kepatuhan dalam konteks persekitaran setempat sememangnya diperlukan.
Kata Kunci :
kakitangan kesihatan,
Kecederaan Alatan Tajam,
kepatuhan,
Pendedahan di Tempat Kerja,
profilaksis pasca-pendedahan,