Abstrak
Golongan belia merupakan aset negara yang berpotensi membangunkan negara melalui pencapaian akademik dan kemahiran kerjaya. Namun, golongan ini berdepan dengan cabaran pasca pandemik yang mengakibatkan tekanan hidup, ketahanan diri yang terjejas serta kemerosotan fungsi kesihatan diri. Situasi ini memberi impak kepada kesihatan awam dan sosial, termasuk peningkatan keciciran sekolah, cubaan bunuh diri, vandalisme, buli dan penggunaan bahan terlarang. Masalah kesihatan mental terus meningkat pada tahap yang membimbangkan walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan. Selain itu, terdapat kekurangan penerbitan yang boleh dicapai berhubung dengan intervensi strategik sebagai amalan terbaik. Kajian ini bertujuan untuk menilai kebolehlaksanaan intervensi modul penjagaan kendiri yang baru dibangunkan bagi mempromosikan kesihatan mental. Kajian ini menggunakan reka bentuk kaedah campuran penerokaan berurutan yang mengabungkan analisa kuantitatif dan kualitatif dengan memberi tumpuan kepada belia berumur 18-21 tahun di institusi pengajian tinggi. Kumpulan kawalan (n = 33) dan kumpulan intervensi (n = 33) dipilih untuk kajian kebolehlaksanaan serta susulan selepas 3 bulan. Modul intervensi dalam bentuk buku selak (flip book) dan aplikasi digital telah dibangunkan bagi meningkatkan amalan penjagaan kendiri dalam kalangan belia untuk mencegah masalah stres, kebimbangan dan kemurungan, di samping mengukur kesejahteraan serta kualiti hidup belia. Hasil kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan bagi semua pemboleh ubah bersandar ("Barriers to Mental Health Services Scale-Revised", "Youth Quality of Life-Short Form", "Depression, Anxiety and Stress Scale-21", "Brief-COPE" dan Kuiz Modul Y-Healthy Life) dengan nilai p < 0.001 menggunakan kedua-dua kaedah penyampaian (modul bercetak dan aplikasi digital) antara penilaian praintervensi dan pascaintervensi. Kesimpulannya, pendekatan pendidikan kendiri dalam mempromosikan pengurusan kesihatan mental di kalangan belia boleh dilaksanakan.
Kata Kunci :
Belia,
intervensi; kebimbangan; kemurungan; kesihatan mental; stres,