Abstrak
Pengapitan tali pusat lewat (PTPL) ialah suatu amalan di mana tali pusat bayi yang baru lahir tidak segera diapit selepas kelahiran, sebaliknya ditangguhkan untuk membolehkan pemindahan darah dan nutrien yang penting dari uri ke bayi. Kenyataan pendirian ini menyokong PTPL dengan menekankan beberapa faktor fisiologi utama bayi dalam menyesuaikan diri dengan kehidupan luar rahim sebagai justifikasi untuk menangguhkan pengapitan tali pusat. Masa yang optimum untuk mengapit tali pusat juga dibincangkan berdasarkan saranan amalan terbaik daripada beberapa badan antarabangsa terkemuka yang terlibat dalam penjagaan ibu, janin dan bayi baru lahir. Dalam menjelaskan manfaat PTPL dari perspektif saintifik, kenyataan pendirian ini juga mengkaji impak signifikan terhadap kesihatan bayi baru lahir, terutamanya dalam mengurangkan pendarahan dalam otak dan ketidakstabilan peredaran darah untuk golongan bayi pramatang, anemia kekurangan zat besi, dan meningkatkan hasil perkembangan otak jangka panjang. Pada umumnya, kebimbangan dan risiko potensi yang sering dikaitkan dengan PTPL seperti pendarahan selepas bersalin dan penyakit kuning bayi baru lahir telah disangkal berdasarkan penyelidikan terkini. Kenyataan pendirian ini bertujuan memberikan saranan kepada kakitangan penjagaan kesihatan dan nasihat kepada ibu bapa di Malaysia, dengan harapan PTPL akan dilaksanakan di seluruh negara sebagai amalan piawai pada masa terdekat.
Kata Kunci :
Anemia kekurangan zat besi; bayi cukup bulan,
bayi pramatang,
pemindahan darah dari uri,
pengapitan tali pusat awal,
pengapitan tali pusat segera,
tali pusat bayi,