Abstrak
Sistemik lupus eritematosus (SLE) adalah penyakit autoimun kronik yang melibatkan pelbagai sistem. Ikaros ialah faktor transkripsi utama yang dikodkan oleh gen Ikaros family zinc finger 1 (IKZF1). Ikaros memainkan peranan penting di dalam sistem darah (hematopoiesis) dan pengawalan sistem imun kerana ia membantu dalam pembezaan sel limfoid. Fungsi Ikaros telah ditunjukkan dengan jelas dalam model tikus dan kini terdapat data tentang peranannya dalam patogenesis dan target perawatan SLE. Ulasan sistematik ini menghuraikan perkaitan klinikal yang signifikan antara Ikaros and IKZF1 dalam pesakit SLE, melalui carian yang menyeluruh menggunakan pangkalan data OVID, PubMed dan Cochrane. Istilah “SLE”, “lupus”, “ikaros transcription factor”, “ikaros zinc finger” and “IKZF” telah digunakan bagi tujuan pencarian dan semua artikel yang relevan telah dianalisa. Hanya kajian yang melibatkan manusia dimasukkan dan berdasarkan kriteria inklusi, sebanyak 22 artikel yang berkaitan dengan Ikaros di dalam SLE telah terpilih. Polimorfisme IKZF1 telah terbukti berkaitan secara signifikan dengan SLE yang berlatar belakang pelbagai etnik. Hubungan ini telah mencetuskan beberapa kajian klinikal dalam SLE, menggunakan iberdromide yang bertindak terhadap Ikaros. Walau bagaimanapun, kajian tentang ekspresi gen Ikaros dan paras protein didapati tidak konsisten, dan ini kemungkinan disebabkan oleh kepelbagaian ciri klinikal penyakit SLE ini. Kesimpulannya, walaupun Ikaros berpotensi menjadi protein target rawatan di dalam SLE, kajian selanjutnya diperlukan bagi mengenalpasti kesan sebenar Ikaros, serta subset pesakit SLE yang mungkin mempunyai respon yang baik terhadap rawatan tersebut.
Kata Kunci :
Autoimun,
gen,
Ikaros,
lupus,
protein,